Calon PH kempen rumah ke rumah, selesaikan isu asas penduduk
- Noraini Nordin

- 1 hour ago
- 3 min read

Sorotan Khas PRN NS: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sri Menanti, Kamarul Arifin Wafa, mahu mencipta sejarah baharu dengan membawa kemenangan pertama PH di kawasan berkenaan, berbekalkan pendekatan kempen akar umbi yang memberi tumpuan kepada pertemuan secara langsung dengan pengundi.
Dalam temu bual khas bersama penulis Kamarul berkata sejak selesai proses penamaan calon, beliau memilih pendekatan door-to-door dengan memasuki kampung-kampung dan bertemu sendiri penduduk bagi memperkenalkan dirinya serta mendengar permasalahan mereka.
Menurutnya, DUN Sri Menanti mempunyai kira-kira 10,000 pengundi dan sebahagian daripada mereka berada di luar kawasan.
"Saya mengambil keputusan untuk kempen door-to-door, rumah ke rumah. Di sini ada 13 daerah mengundi dan hampir kebanyakan kampung saya sudah masuk. Saya pergi bertemu dengan para pengundi.
"Apabila pertemuan secara fizikal dilakukan, Alhamdulillah penerimaan mereka cukup baik,” katanya.
"Saya anak tempatan, Sri Menanti bukan asing bagi saya."
Kamarul berkata hubungan keluarganya dengan kawasan itu turut membantu penduduk mengenalinya dengan lebih dekat.
Beliau menjelaskan datuk dan neneknya berasal dari kawasan berkenaan, selain beliau sendiri pernah bersekolah dan dibesarkan di situ sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Selepas menamatkan pengajian, beliau kembali dan menjalankan amalan guaman, termasuk di Kuala Pilah dan Senawang.
Pengalamannya dalam pentadbiran tempatan turut diperkukuhkan apabila diberikan tanggungjawab oleh kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, untuk berkhidmat sebagai ahli Majlis Daerah Kuala Pilah.
"Ini tempat kita. Apabila kita bertemu ibu-ibu dan ayah-ayah, ada yang mengenali kita. Penerimaan mereka positif kerana mereka merasakan kita adalah anak tempatan, bukan orang luar seperti yang digembar-gemburkan," katanya.
Penduduk mahu wakil yang turun padang
Ditanya apakah kehendak utama masyarakat Sri Menanti, Kamarul berkata antara perkara yang paling ketara ialah penduduk mahu mendapat perhatian secara berterusan daripada wakil rakyat.
Katanya, ramai penduduk kampung mempunyai anak yang tinggal dan bekerja di bandar. Justeru, mereka memerlukan wakil rakyat yang sentiasa turun bertemu masyarakat serta membantu menyelesaikan masalah kehidupan seharian.
Antara isu yang ditemuinya sepanjang kempen termasuk keperluan membaiki atap dan bumbung rumah yang rosak, dinding kediaman, lampu jalan, aspek keselamatan serta akses jalan raya ke kediaman penduduk.
Beliau turut mendakwa terdapat aduan mengenai beberapa masalah setempat yang masih belum dapat diselesaikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Cabaran 30 kampung, kempen bertemu pengundi
Kamarul mengakui keluasan kawasan serta jumlah kampung menjadi antara cabaran utama kempen apabila terdapat lebih 30 kampung yang perlu disantuni.
Kempen pada waktu pagi pula kadangkala tidak menemukan penduduk kerana mereka keluar bekerja atau berkebun, manakala sebelah petang merupakan waktu mereka berehat.
Namun, katanya, keadaan itu tidak menghalang pasukannya daripada kembali semula ke rumah yang belum sempat dikunjungi.
"Kalau pagi kita datang dia tak ada, kita pusing balik. Petang kita datang balik sampailah kita dapat berjumpa seramai mungkin," katanya.
Beliau turut mendapat bantuan pemimpin masyarakat dan bekas pengerusi kampung yang membimbing serta memperkenalkannya kepada penduduk.
Strategi ‘hit and run’ sekati rakyat
Kamarul turut memperkenalkan pendekatan yang disifatkannya sebagai kempen “hit and run” untuk memperluaskan pertemuan dengan masyarakat.
Konsep itu bukan merujuk kepada kempen secara tergesa-gesa, sebaliknya mengambil setiap peluang untuk menyapa dan memperkenalkan diri kepada orang ramai di mana sahaja mereka ditemui.
"Kadang-kadang kita nampak orang berjalan di tepi jalan pun kita berhenti, bagi risalah. Pergi kedai-kedai minum, nampak orang kita terus pergi. Sampai pukul 11 malam kalau ada kedai buka, kita pergi," katanya.
Pada masa sama, media sosial digunakan bagi mendekati pengundi yang berada di luar kawasan menerusi platform seperti Facebook, TikTok dan X, sementara kempen fizikal memberikan tumpuan kepada pengundi yang masih berada di Sri Menanti.
Yakin rekod pentadbiran PH
Mengulas sama ada tawaran kerajaan Negeri Sembilan mampu membantu PH dalam persaingan sengit di Sri Menanti, Kamarul menjadikan rekod pentadbiran negeri sejak 2018 sebagai sandaran keyakinannya.
Menurut beliau, sebahagian besar manifesto yang diperkenalkan ketika PH mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan pada 2018 telah dapat dilaksanakan.
Beliau melihat tawaran baharu yang dibawa sebagai kesinambungan kepada agenda berkenaan.
"Kita pernah ada sejarah yang baik pada 2018. Kita pernah mentadbir dan sebahagian besar manifesto yang telah dilancarkan oleh Tok Min pada waktu itu dapat dilaksanakan.
"Yang baharu ini adalah lanjutan daripada manifesto lama. Kita yakin, kalau yang dahulu dapat dilaksanakan, yang baharu juga kita boleh laksanakan," katanya.
“2026 kita bina sejarah baharu di Sri Menanti”
Memasuki fasa terakhir kempen, Kamarul berkata fokusnya kini beralih kepada usaha pujuk rayu pengundi dan meminta masyarakat memberikan peluang kepada PH.
Beliau berkata pencalonannya membawa makna tersendiri kerana menurutnya, PH dan gabungan politik pendahulunya tidak pernah sebelum ini meletakkan calon di Sri Menanti.
Justeru, pilihan raya kali ini dilihat sebagai peluang untuk membuka lembaran baharu.
"Inilah kali pertama. Saya cakapkan dengan orang kita, jadikan hari ini sejarah. Kita bina sejarah baharu di Sri Menanti.
"Kita sudah berjuang lama. Tahun 2026, rekodkan sebagai sejarah baharu untuk Pakatan Harapan menang di Sri Menanti, insyaAllah," katanya.




Comments