
Calon KEADILAN DUN Beting Maro, Abang Zulkifli Abang Engkeh bertekad akan berusaha membawa penduduk kawasan berkenaan keluar daripada belenggu kemiskinan.
Katanya, pelbagai program dan pelan perancangan strategik perlu dilaksanakan bagi memperbaiki insfrastruktur dan kegiatan ekonomi di Beting Maro.
"Fokus utamanya kita untuk memperkasakan ekonomi tempatan dan reformasi infrastruktur asas di Beting Maro. Kerajaan GPS-PN telah gagal untuk mengawal harga barang makanan sehingga rakyat akar umbi sangat terkesan dan taraf hidup makin merosot. Pelan pemulihan ekonomi diperlukan dengan segera," katanya dalam sidang media atas talian, pagi ini.
Beliau menegaskan Beting Maro dan kawasan Pusa adalah antara kawasan yang paling miskin di Malaysia. Maka pelan tindakan yang mantap demi memulihkan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan untuk anak muda dan penduduk tempatan perlu disediakan.
"Sekiranya KEADILAN memimpin kerajaan Sarawak, inisiatif yang konkrit akan diambil untuk membangunkan Beting Maro untuk sektor industri pertanian dan industri kecil kampung
"Salah satu sektor yang berpotensi ialah industri gula apong. Industri ini mempunyai potensi yang tinggi untuk dikembangkan dan dipasarkan di seluruh Malaysia dan juga ke peringkat antarabangsa kalau dibangunkan dengan mantap. Skim mikrokredit
serta pakej sokongan E-Perniagaan Percuma seperti Pakej Latihan dan Bimbingan E-Digital Percuma harus disediakan," katanya.
Selain itu, program latihan vokasional khas untuk pemuda yang ingin menceburi bidang pembinaan juga harus disediakan. Latihan dalam bidang ‘Health & Safety’ serta Juru Elektrik dan Tukang Paip, kata Abang Zul, akan dijalankan demi memastikan keselamatan, profesionalisme dan praktis terbaik sentiasa dijalankan dalam sektor pembinaan.
Setelah melalui latihan vokasional, menurut beliau, pekerjaan akan disediakan dalam sektor pembinaan untuk projek pembangunan di Beting Maro dan seluruh Sarawak. Beribu projek pembangunan diperlukan dan projek-projek ini dianggarkan dapat menyediakan peluang pekerjaan baharu untuk anak muda tempatan.
Menurut Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak itu, beliau juga akan berusaha membawakan bekalan air bersih dan tenaga elektrik 24 jam ke Beting Maro.
"Begitu juga dengan liputan internet. Liputan internet sangat penting untuk memastikan kelangsungan kehidupan seharian termasuk memastikan anak-anak kita dapat menyambung pembelajaran, peniaga kita dapat berniaga, perbankan dan urusan rasmi dapat dijalankan dengan lancar," katanya lagi.