'Boleh periksa kejayaan reformasi institusi, Malaysia stabil ditadbir PMX'
- Hasbul Ahmad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kejayaan reformasi institusi yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan hari ini boleh disemak secara nyata, sekaligus membuktikan Malaysia berada dalam keadaan stabil di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin (gambar) berkata pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan termasuk pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan yang disifatkan sebagai antara reformasi terbesar demi memberi keadilan kepada rakyat.
Menurut beliau, kejayaan itu dicapai hasil usaha kerajaan termasuk rundingan bersama Raja-Raja Melayu serta inisiatif Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Datuk Seri Saifuddin Nasution.
"Siapa kata kita tidak buat reformasi? Kita telah melaksanakan perubahan besar termasuk pindaan kewarganegaraan dalam Perlembagaan yang memberi keadilan kepada ramai rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sistem Pengurusan Pilihan Raya “TERAS” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, kelmarin.
Pengarah Strategi KEADILAN itu turut menjelaskan bahawa reformasi turut melibatkan pengukuhan institusi Parlimen menerusi penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen yang memperkukuh kebebasan ahli Parlimen untuk bersuara tanpa tekanan.
"Sekarang Parlimen lebih bebas, ahli-ahli Parlimen boleh menyuarakan pandangan termasuk mengkritik kerajaan tanpa dikenakan tindakan," ujarnya.
Selain itu, Sim berkata, penambahbaikan turut dilakukan dalam aspek tadbir urus melalui pemerkasaan fungsi audit negara yang kini mampu menelusuri penggunaan dana awam termasuk melibatkan syarikat berkaitan kerajaan.
Tambahnya, pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan pula memastikan setiap proses tender lebih telus dan berakauntabiliti, termasuk membolehkan tindakan undang-undang diambil walaupun selepas tempoh perkhidmatan seseorang pegawai atau menteri berakhir.
Beliau memaklumkan dua lagi reformasi besar sedang diusahakan iaitu cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwaraya.
Mengulas aspek politik, Sim menegaskan kestabilan yang dicapai di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim telah menjadi faktor utama kepada peningkatan keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negara.
"Kestabilan politik ini penting kerana ia membawa masuk pelaburan, meningkatkan kehadiran pelancong dan akhirnya memperbaiki kehidupan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru jentera parti untuk terus memperkukuh khidmat di lapangan serta menjelaskan pencapaian kerajaan kepada pengundi sebagai bukti politik berasaskan prestasi.
"Saya optimistik dan yakin kita mampu menunjukkan perbezaan ketara.
"Banyak yang telah dilakukan dan masih banyak lagi yang akan dilaksanakan," katanya lagi.




Comments