top of page

BN perlu jawab dengan fakta, bukan sentimen - Aiman Athirah

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Pakatan Harapan (PH) mencabar Barisan Nasional (BN) menjawab segala isu yang dibangkitkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan fakta dan data rasmi, bukannya terus menuduh gabungan itu memainkan politik fitnah.


Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Aiman Athirah Sabu (gambar) berkata, dakwaan kononnya PH menggunakan naratif hasutan dan fitnah adalah tidak berasas kerana pelbagai isu yang dibawa gabungan itu menyentuh kepentingan rakyat termasuk perumahan mampu milik, kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat.


Sebaliknya, beliau mempersoalkan pihak yang selama ini memainkan pelbagai sentimen sepanjang kempen termasuk isu pembebasan Datuk Seri Najib Razak, dakwaan orang Melayu semakin tertindas, kononnya Menteri Besar Johor disekat memasuki FELDA, Johor tidak mendapat layanan adil daripada Kerajaan Persekutuan, isu hasil cukai, JS-SEZ, BUDI95 serta FELDA.


"Mereka juga membuat dakwaan mengenai prestasi ekonomi Johor tanpa merujuk data rasmi.


"Kemudian PH pula yang dituduh memainkan politik fitnah?" katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Aiman Athirah, sekiranya fakta yang dibentangkan PH dianggap tidak tepat, BN sepatutnya menjawab dengan fakta dan data rasmi kerana demokrasi yang matang dibina melalui hujah, bukannya slogan atau persepsi.


Beliau berkata, PH memilih untuk membawa politik berasaskan fakta walaupun pendekatan itu lebih mencabar berbanding memainkan sentimen yang mudah membakar emosi rakyat.


Tegas beliau, PH akan terus mempertahankan budaya politik yang mengutamakan penyelesaian, dasar dan rekod pencapaian berbanding politik kebencian serta fitnah.


Menurutnya, rakyat Johor dan seluruh negara berhak menikmati kempen pilihan raya yang membincangkan masa depan mereka, bukannya kempen yang hanya dipenuhi persepsi dan sentimen.


"Jika benar ingin menilai siapa yang mengamalkan politik matang, nilailah berdasarkan fakta, data, rekod pencapaian dan penyelesaian yang ditawarkan, bukannya siapa yang paling lantang memainkan sentimen," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page