BN Johor solo: Lihat keputusan PRU 15, PH dominasi sokongan Cina
- Akmal Manaf

- May 20
- 2 min read

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO-BN, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) memberi bayangan bahawa UMNO Johor berdepan cabaran besar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya bergerak secara solo tanpa kerjasama daripada sekutunya di peringkat pusat, Pakatan Harapan (PH).
Katanya, faktor BN menang besar dalam PRN Johor ke-15 pada 12 Mac 2022 lalu kerana negara masih berdepan pandemik Covid-19, menyebabkan sebahagian besar pengundi Cina tidak keluar mengundi kerana mengambil sikap berhati-hati terhadap faktor kesihatan.
Hal itu jadi sebaliknya, kata Lokman apabila pengundi Cina keluar membuang undi pada Pilihan Raya Umum pada November 2022.
"Itu sebab peratusan keluar mengundi ketika itu (PRN) 54.92% sangat rendah. Jadi kalau ikut keputusan itu, memanglah kita terima hakikat rasional kalau BN Johor mahu bertanding secara solo.
"Tetapi apa berlaku bila Covid berakhir? Bila Covid berakhir, masyarakat Cina keluar mengundi. Pada PRU 2022, peratusan keluar mengundi ialah 73.3%.
"Masa itu, di bawah pentadbiran Datuk Onn Hafiz (Menteri Besar Johor) lebih kurang dalam 8 bulan, kita berhadapan dengan PRU pada November 2022.
"Selepas kemenangan (BN) di (PRN) Melaka dan Johor, hancur berderai (keputusan pilihanraya terhadap BN di negeri lain)," katanya dalam satu siaran video.
Lokman menegaskan, BN memenangi PRN di Melaka dan Johor ketika PH berada dalam keadaan berpecah, selain kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina ketika itu dilihat rendah.
Namun ujarnya, apabila PRU ditangguhkan, prestasi BN dilihat mula merosot selepas memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut.
Katanya, pada PRU lalu di Johor dengan kadar keluar mengundi sekitar 73.3%, BN hanya memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen, manakala PH memperoleh 15 kerusi dan PN memenangi dua kerusi.
"Berapa peratus kadar kemenangan BN di Johor ketika itu? Kadarnya 34.61%. Berapa peratus tahap kemenangan BN ketika orang takut nak keluar mengundi dan semasa pembangkang huru-hara? Kadarnya 71.42%.
"Tidak dinafikan Johor (ini) istimewa. Hanya Melayu Johor yang betul-betul bersama dengan UMNO berbanding negeri lain, tapi cukup tak tuan-tuan dengan 55% Melayu ini?
"Kalau kita boleh dapat separuh pun, masih tak cukup.. Kita masih perlukan 45% bukan Melayu untuk bersama dengan kita.
"Hakikat dan realiti kita lihat 97% Cina bersama dengan PH, kita lihat Melayu ada 11% dengan PH, dan 90% India bersama PH.
"Walaupun kita memperoleh sokongan Melayu yang solid, katakan sekitar 60% di Johor, ia masih belum cukup untuk membolehkan kita memenangi PRU," kata Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia.




Comments