top of page

"Bersamamu Wangsa Maju" erat ukhwah sesama penduduk tanpa mengira ideologi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read
Andre Lai (kanan sekali) meninjau gerai jualan di Program Komuniti Aktif & Sihat 2026
Andre Lai (kanan sekali) meninjau gerai jualan di Program Komuniti Aktif & Sihat 2026

Penggerak komuniti Wangsa Maju, Lai Chen Heng menyeru agar keharmonian masyarakat akar umbi terus diperkukuh menerusi program-program inklusif pasca-pandemik, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik demi mendepani cabaran ekonomi negara.


​Menggerakkan inisiatif di bawah platform "Bersamamu Wangsa Maju", beliau hadir menyantuni ratusan penduduk setempat dalam penganjuran Program Komuniti Aktif & Sihat 2026 yang berlangsung di Dewan Blok C, Kawasan 2A Taman Melati, kelmarin.


​Lai menegaskan kepentingan menghidupkan semula program komuniti yang inklusif penting bagi membina semula fabrik sosial masyarakat yang terkesan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


​"Program seumpama ini jarang dilakukan sekarang, setelah pandemik (Covid 19). Ini adalah peluang yang baik bagi merapatkan ukhuwah sesama penduduk yang mempunyai ideologi politik yang berbeza.


"Tetapi lebih penting adalah menyantuni komuniti dengan semangat Malaysia Madani dan pembaharuan reformasi," katanya.


​Dalam perkembangan sama, beliau turut meluahkan kekesalan berhubung desas-desus peletakan jawatan seorang Ahli Parlimen yang bertiup kencang. Menurutnya, tindakan mencetuskan polemik politik sedemikian adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku, terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan krisis tenaga global yang amat mencabar.


​"Sesuatu yang tidak wajar berlaku pada saat negara sedang berhadapan dengan krisis minyak yang meruncing. Namun, saya berharap agar rakyat dapat menilai setiap inisiatif yang dibawa oleh kerajaan Malaysia Madani melalui lensa kepentingan awam (public interest), bukannya terpengaruh dengan polemik politik semata-mata," ujarnya.


Lai turut memuji komitmen tinggi penganjur tempatan, khususnya Zaidi bersama barisan kepimpinan persatuan penduduk dan Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) Taman Melati 2A, yang memberikan sokongan penuh dalam menjayakan program bersempena sambutan Hari Wanita dan Hari Belia tersebut.


​Beliau turut memberikan pengiktirafan khusus kepada Sdr Asalan, seorang pelatih bertauliah atlet sukan negeri, yang bertindak sebagai pengendali utama program sehingga berjaya menarik penglibatan luar biasa golongan belia dan wanita sebagai sukarelawan acara.


​Selain aktiviti kecergasan, pertandingan memasak, gubahan bunga, dan mewarna, program berkenaan turut memuatkan slot ilmiah kritikal iaitu Sesi Kesedaran Penyakit Mental yang disampaikan oleh Dr Suhaila daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengupas pengurusan stres di peringkat keluarga.


​Sepanjang program berlangsung, Lai juga sempat meluangkan masa beramah mesra dengan tokoh-tokoh veteran komuniti termasuk Pak Raja, yang kelihatan semakin sihat dan bertenaga. Menurut Lai, kehadiran warga emas yang sihat membuktikan ekosistem kejiranan yang aktif mampu melahirkan komuniti Kuala Lumpur yang inklusif, sihat fizikal, dan sejahtera mental.


Untuk rekod, Bersamamu Wangsa Maju merupakan platform khidmat komuniti dan advokasi sosial yang diterajui oleh Lai Chen Heng.


Platform ini memfokuskan kepada penyelarasan kebajikan, pemantauan infrastruktur bandar, serta pemerkasaan sosioekonomi penduduk di sekitar Parlimen Wangsa Maju demi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page