Berita palsu krisis tenaga global: MCMC buka 42 kertas siasatan
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka sebanyak 42 kertas siasatan berhubung penyebaran kandungan palsu di platform digital dan media sosial berkaitan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada 42 kertas siasatan yang dibuka itu, 31 kandungan adalah melibatkan berita palsu berhubung kos bahan api.
"Pada masa sama MCMC setakat ini juga telah membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu daripada pelbagai platform media sosial.
"154 daripada jumlah itu telah pun diturunkan oleh penyedia platform, manakala selebihnya masih dalam siasatan platform-platform berkenaan.
"22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara turut dipanggil setakat ini untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media Taklimat Krisis Tenaga Global dan Sidang Media Mingguan.
Susulan penyebaran berita palsu itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN menyeru semua rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada terhadap sebaran maklumat terutama dalam media sosial khusus berkaitan krisis tenaga global.
"Dalam keadaan dunia yang berdepan cabaran semasa, terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan pelbagai maklumat yang tidak sahih semata-mata untuk meraih perhatian dan pengaruh.
"Jangan berkongsi sebarang maklumat selagi belum dipastikan kesahihannya dan kebenarannya, sebaliknya rujuklah sumber rasmi dan pihak berwajib untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," ujar beliau lagi.




Comments