top of page

Belum fikir bubar Parlimen, fokus ekonomi, bersihkan negara - PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read
DS Anwar ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor
DS Anwar ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor

Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memutuskan sebarang langkah berhubung cadangan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal memandangkan fokus kerajaan ketika ini adalah kepada ekonomi, kesejahteraan rakyat serta usaha membersihkan negara daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Perdana Menteri berkata kerajaan masih stabil dan mempunyai mandat untuk mentadbir negara dengan baik sekali gus tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan tanggungjawab berkenaan.


"Cadangan itu (bubar Parlimen awal) saya boleh teliti tetapi yang memutuskan itu saya akan fikir dahulu dan kemudian saya akan persembahkan ke bawah Duli Tuanku (Yang di-Pertuan Agong)


"Sekarang fokus ekonomi, fokus kesejahteraan rakyat dan fokus untuk membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan rasuah. Bagi saya fokus ini yang penting.


"Keadaan yang ada sekarang, kerajaan itu masih stabil, kita tumpukan yang ini," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang hari ini.


Media tempatan sebelum ini melaporkan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Pilihan Raya Umum -ke-16 diadakan lebih awal daripada tarikh Parlimen terbubar sendiri.


Anwar berkata kerajaan tidak seharusnya diganggu oleh perkara yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap usaha memperkukuh pentadbiran dan ekonomi negara.


"Jangan rosakkan orang yang ada amanah, yang bersih. Tidak harus takut dengan langkah-langkah yang diambil oleh SPRM, PDRM atau LHDN Kita tak boleh terus biarkan keadaan sekarang," katanya.


Sambil mengakui pihaknya turut menerima pelbagai tekanan dan cadangan termasuk membubarkan Parlimen lebih awal, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan pentadbiran selaras dengan mandat yang diterima.


"Seperti mana yang saya sampaikan kepada Jemaah Menteri pada Rabu, kita dapat mandat mentadbir, mengurus dengan baik," ujarnya.


Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan diteruskan tanpa mengira kaum atau kedudukan.


"Masyarakat Melayu, Cina, India, dari Sabah ke Sarawak, ini bukan soal kaum, ini soal selamatkan negara.


"Bukan nak selamatkan kedudukan, bukan selamatkan kumpulan. Walaupun saya hadapi risiko atau tekanan, Insya-Allah saya minta rakyat doa kita dapat teruskan dan bersihkan negara ini," katanya.


Anwar turut menegaskan agensi penguatkuasaan perlu menjalankan tugas secara berhemah dan adil tanpa campur tangan politik.


Kata beliau individu yang mempunyai bukti kesalahan perlu diambil tindakan, manakala mereka yang tidak mempunyai bukti kukuh perlu dilepaskan.


"Ada bukti, teruskan. Tak ada bukti, lepaskan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page