Belanjawan MADANI kelima: RM510 bilion tingkat kesejahteraan rakyat


Ulasan Berita: Belanjawan MADANI Kelima yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat memperuntukkan sebanyak RM510 bilion bagi mengangkat martabat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Anwar berkata, manfaat belanjawan itu perlu dirasai oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada golongan yang tercicir, selaras dengan usaha kerajaan memastikan pembangunan negara diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah kewajipan kepada pemandu yang menyebabkan kemalangan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah untuk membayar pampasan kepada mangsa.
Dalam sektor kesihatan, kerajaan menyediakan insentif kepada petugas kesihatan serta peruntukan bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit. Selain itu, seramai 9,000 doktor kontrak akan diserap ke jawatan tetap bagi menangani isu legasi berkaitan status perkhidmatan doktor kontrak.
Peruntukan bantu Orang Asli, OKU
Kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi membela kebajikan orang kurang upaya (OKU), manakala RM445 juta disediakan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut diperluas kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir bagi memperkukuh jaringan perlindungan sosial golongan berkenaan.
Dalam usaha memartabatkan syiar Islam, sebanyak RM3.1 bilion diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif berkaitan.
Sementara itu, kerajaan menyediakan RM2.3 bilion bagi pembinaan dan penyelenggaraan kuarters untuk anggota polis, doktor, tentera, guru serta anggota bomba.
Bantu pesawah, pekebun kecil
Bagi sektor pertanian dan perikanan, bantuan kepada pesawah ditetapkan sehingga RM4,300 sehektar bagi setiap musim, manakala bantuan kepada nelayan dan pekebun kecil turut dinaikkan.
Langkah itu bertujuan membantu golongan yang bergantung pada sektor berkenaan menghadapi cabaran kos operasi serta menyokong kelangsungan pendapatan mereka.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan wilayah, sebanyak RM34.9 bilion diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak, masing-masing RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion.
Kerajaan turut menyediakan RM3.3 bilion bagi pelaksanaan projek jalan luar bandar, pemasangan lampu jalan serta penyediaan bekalan air bersih dan elektrik.
Peruntukan berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas dan peningkatan kemudahan awam, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar.
Anwar menegaskan bahawa seluruh jentera Kerajaan MADANI akan bekerja keras bagi memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dan diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.
Beliau berkata, matlamat utama Belanjawan MADANI Kelima adalah memastikan setiap warga Malaysia menikmati manfaat pembangunan negara, sekali gus memperkukuh kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.




Comments