Belanjawan MADANI 2026 junjung keadilan, semarak nilai Islam
- Suara Keadilan

- Oct 13
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Belanjawan MADANI 2026 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu disifatkan sebagai belanjawan berjiwa Islam yang menjunjung prinsip keadilan dan menzahirkan nilai moral dalam tadbir urus negara.
Exco Wanita KEADILAN Pusat merangkap Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA), Farahida Fauzi (gambar) berkata, belanjawan tersebut bukan sekadar pelan perbelanjaan negara, sebaliknya merupakan manifestasi kepimpinan yang menjiwai roh Islam – rahmatan lil ‘alamin.
"Belanjawan ini menolak ketirisan, menentang pembaziran dan menzahirkan kasih terhadap rakyat yang memerlukan. Inilah erti sebenar politik ihsan yang menjadi tunjang Malaysia MADANI – pemerintahan berasaskan akhlak, keadilan dan kesejahteraan sejagat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Farahida, pendekatan kerajaan MADANI selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj ayat 41 yang menekankan tanggungjawab pemerintahan untuk menegakkan solat, menunaikan zakat, menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.
"Inilah asas perjuangan Kerajaan MADANI — menggunakan amanah kuasa untuk membela rakyat dan menaikkan syiar Islam melalui tadbir urus yang bersih, berintegriti dan berakauntabiliti.
"Kemajuan hakiki ialah apabila rakyat hidup makmur, wanita diangkat martabatnya, keluarga dilindungi dan masyarakat berpaksikan nilai luhur yang membentuk bangsa beriman serta beradab," tambahnya.
Farahida yang juga Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pahang menerusi kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas keberanian dan ketegasan menerajui dasar-dasar yang menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut mendoakan agar Perdana Menteri dan kepimpinan negara terus dikurniakan kekuatan dan petunjuk dalam membawa Malaysia menuju kemakmuran yang berkat, sejahtera dan dirahmati.









Comments