top of page

Belanjawan 2027: Sambut baik Kelantan dapat 'durian runtuh' pembangunan

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
19 hours ago
2 min read
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Ezzat Hanuzi Mohamad Zahrim
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Ezzat Hanuzi Mohamad Zahrim

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keprihatinan dalam menyelesaikan isu asas rakyat, termasuk perkara yang sekian lama membelenggu rakyat Kelantan.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Ezzat Hanuzi Mohamad Zahrim berkata beberapa pengumuman dalam Belanjawan 2027 membuktikan Kerajaan MADANI tidak meminggirkan negeri tersebut seperti didakwa pembangkang.


"(Pengumuman) ini bukan sekadar senarai projek pembangunan di atas kertas, sebaliknya melibatkan kehidupan rakyat yang sekian lama berdepan masalah banjir, gangguan air bersih dan kekangan pengangkutan awam yang memerlukan penyelesaian tuntas," katanya dalam satu kenyataan.


Antara projek utama yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2027 termasuk pembinaan Empangan Lebir bagi menangani isu banjir dan bekalan air, penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Machang, serta penggantian paip uzur yang menjadi punca utama gangguan bekalan air bersih.


Turut diumumkan ialah pembangunan stesen bas di Stesen ECRL Kota Bharu dan peruntukan RM270 juta bagi menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di bandar-bandar utama — termasuk usaha menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL.


Ezzat sementara itu menyeru rakyat di negeri itu menyambut baik keprihatinan ditunjukkan Kerajaan MADANI, terutama apabila Menteri Besar sendiri merakamkan penghargaan kepada pengumuman perdana menteri yang mengutamakan kepentingan rakyat.


"Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi penduduk.


"Jika kerajaan negeri sendiri mengiktiraf manfaat yang bakal diperoleh, amatlah mendukacitakan apabila terdapat segelintir wakil rakyat pembangkang, khususnya daripada Pas, yang dilihat memperlekehkan pengumuman tersebut," katanya.


Menerusi kenyataan sama beliau berkata, AMK Kelantan berharap semua projek diumumkan dapat dilaksanakan dengan cekap, telus dan mengikut jadual.


Rakyat di negeri itu jelasnya tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya manfaat pembangunan sama seperti dirasai rakyat di negeri lain.


"Rakyat Kelantan tidak mahu terus terperangkap dalam polemik politik, sebaliknya mahu penyelesaian nyata, perancangan berkesan serta hasil yang dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik," tambahnya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page