Belanjawan 2027: Sabah terima RM18.7 bilion, Sarawak RM16.2 bilion


Sabah dan Sarawak terus menerima peruntukan Persekutuan tertinggi bagi 2027 dengan Sabah diperuntukkan RM18.7 bilion, manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan kepada Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion tahun ini, sementara Sarawak menerima peningkatan daripada RM15.1 bilion.
Selain peruntukan pembangunan, kerajaan turut bersetuju menggandakan tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada anak kelahiran kedua-dua negeri itu bagi memperluas peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
"Bermakna, seramai 4,200 anak Sabah dan Sarawak mendapat peluang melanjutkan pengajian ke menara gading setiap tahun," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027.
Dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak, Anwar berkata kerajaan Persekutuan akan memulakan rundingan rasmi bagi memuktamadkan kerangka pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu.
Rundingan itu meliputi penetapan insentif, pewujudan pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta keperluan infrastruktur strategik bagi menyokong pembangunan zon berkenaan.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperuntukkan RM204 juta bagi pemasangan Sistem Statcom di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud di Sabah.
Menurut Anwar, projek Talian Penghantaran Southern Link juga diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.
Bagi meningkatkan jaringan pengangkutan dan kesalinghubungan di kedua-dua negeri, kerajaan meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM3.3 bilion pada 2027.
Antara projek utama ialah Lebuhraya Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), yang menjadi antara inisiatif penting untuk memperkukuh hubungan antara kawasan serta memudahkan pergerakan penduduk dan barangan.
Anwar berkata, tender bagi seksyen Miri bagi Lebuhraya Trans Borneo sudah dikeluarkan, manakala seksyen Limbang dan Lawas dijangka menyusul menjelang hujung tahun ini.
"Projek Sarawak-Sabah Link Road 1 dan Pan Borneo Sabah Fasa 1B pula disasar siap hujung tahun depan," katanya.
Selain projek baharu dan pembangunan infrastruktur, kerajaan turut menyediakan RM350 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.
Peruntukan itu bertujuan memastikan penyelenggaraan jalan terus dilaksanakan, selain membuka peluang kepada kontraktor tempatan untuk terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur.
Secara keseluruhan, peruntukan dan inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, peluang pendidikan, keselamatan tenaga serta usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sabah dan Sarawak pada 2027.



Comments