Belanjawan 2027: JAKIM sambut baik usaha kukuh syiar Islam


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik usaha Kerajaan MADANI memperkukuh syiar Islam dan kebajikan ummah menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyifatkan, peningkatan peruntukan Hal Ehwal Islam daripada RM2.6 bilion kepada RM3.1 bilion sebagai amanah besar yang perlu dimanfaatkan sebaiknya.
"Ini bukanlah jumlah yang kecil dan insya-Allah, kita akan memanfaatkan peruntukan ini sebaiknya demi kemaslahatan ummah di Malaysia.
"Insya-Allah, peruntukan ini akan membuka lebih banyak ruang dan menyediakan kemudahan untuk memperkukuh syiar Islam agar terus berkembang dan mekar di bumi Malaysia," katanya dipetik.
Berkongsi pandangan serupa, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail turut menyambut baik inisiatif pendigitalan sekolah pondok dengan kerjasama JAKIM dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
"Ini juga merupakan satu inisiatif yang amat dinanti-nantikan. Pada tahun ini, sebanyak enam institusi pondok telah menerima peruntukan bagi tujuan pendigitalan.
"Insya-Allah, pada 2027 lebih 300 institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama akan diberi peluang untuk meningkatkan serta memperkasakan pendigitalan di institusi masing-masing," katanya.
JAKIM sementara itu turut menyifatkan insentif pemberian geran padanan sehingga lima ribu ringgit kepada Perusahaan Mikro,Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi tujuan mendapatkan sijil halal pertama sebagai khabar baik kepada golongan usahawan.
"Kita sedia maklum bahawa Sijil Halal Malaysia memberikan nilai tambah kepada produk dan perniagaan PMKS, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mereka berkembang.
"Inisiatif ini bertujuan menggalakkan PMKS mendapatkan pensijilan halal sebagai langkah awal untuk mengembangkan perniagaan mereka," kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Muhyidin Aziz@Saari dipetik laporan sama.




Comments