Belanjawan 2027 berteras nilai kemanusiaan, bukan sekadar angka


Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada awal Oktober depan akan terus berpaksikan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar mengejar pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika kerajaan memuktamadkan belanjawan berkenaan, semua dasar utama negara termasuk strategi semikonduktor, peralihan tenaga, transformasi digital dan pembangunan ekonomi akan terus dipandu kerangka Malaysia MADANI.
Katanya, kemajuan ekonomi perlu disertai tujuan moral dalam tadbir urus bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.
"Dalam tempoh sebulan akan datang saya akan bergelut menyiapkan belanjawan untuk tahun hadapan yang akan dibentangkan pada awal Oktober.
"Namun, meskipun dengan tekanan ini, saya tidak pernah mengabaikan persoalan asas yang terkandung dalam kerangka MADANI.
"Belanjawan, pertumbuhan ekonomi, dasar-dasar ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital tidak boleh mengetepikan usaha kita untuk mengembalikan tujuan moral dalam tadbir urus dan pembangunan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan; Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) merangkap Pengarah HEGD, Datuk Prof. Dr. Saadiah Mohamad serta tokoh ekonomi Prof. Jomo Kwame Sundaram dan Prof. Ziauddin Sardar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dunia kini menyaksikan kemajuan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, pembuatan termaju dan bioteknologi, namun perkembangan itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan pekerjaan serta peningkatan jurang sosial.
Katanya, keluarga masih berdepan tekanan kos sara hidup, manakala petani, nelayan dan usahawan kecil mahu memastikan pembangunan negara turut membawa manfaat kepada mereka.
Beliau berkata, Malaysia akan terus memperkukuh agenda transformasi digital termasuk pelancaran Pejabat AI Kebangsaan dalam masa terdekat, namun teknologi mesti dipandu nilai kemanusiaan.
"Apakah makna pertumbuhan ekonomi jika rakyat masih tidak dapat hidup bermaruah? Apakah nilai kemakmuran jika masih ada yang terus dipinggirkan? Dan apakah ertinya inovasi jika akhirnya hanya melebarkan jurang dalam masyarakat," katanya.
Anwar berkata disiplin fiskal dan pertumbuhan ekonomi kekal penting kerana negara tidak boleh ditadbir berdasarkan sentimen semata-mata.
"Ekonomi ialah satu wasilah, bukannya matlamat. Tujuannya bukan sekadar menghasilkan angka pertumbuhan yang lebih tinggi atau pengumpulan kekayaan yang lebih besar, tetapi memastikan rakyat dapat hidup dengan maruah, jaminan, tujuan dan harapan," katanya.
Menurut beliau, kemakmuran perlu diterjemahkan melalui gaji lebih baik, pekerjaan bermakna, perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan berkualiti, pendidikan yang baik serta peluang mobiliti sosial lebih luas.
Dalam pada itu, Anwar berkata prinsip keadilan perlu diamalkan secara konsisten tanpa mengira sama ada seseorang itu kerajaan, pembangkang, pelabur, pekerja atau golongan miskin.
Mengenai cabaran global termasuk konflik di Gaza, Anwar menjelaskan agama tidak seharusnya dijadikan alat untuk mempertahankan fahaman perkauman atau kepentingan politik sempit, sebaliknya menjadi asas membina masyarakat yang adil dan saling menghormati.
Anwar berkata, Malaysia perlu membuktikan bahawa pendekatan pragmatik dalam ekonomi boleh bergerak seiring dengan tujuan moral dalam pentadbiran.
"Biarlah Malaysia menunjukkan bahawa pragmatisme ekonomi dan tujuan moral boleh berjalan bersama. Dan biarlah ASEAN membuktikan bahawa kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan, bukannya perpecahan.
"Biarlah negara-negara Selatan Global menunjukkan bahawa pembangunan tidak semestinya mengulangi ketidaksamaan dan ketidakadilan yang berlaku pada masa lalu," katanya.
Beliau menegaskan dunia tidak boleh bersikap naif dalam menghadapi cabaran semasa, namun tidak boleh lumpuh akibat sikap sinis dan ketakutan untuk berubah.
"Kita tidak boleh bersikap naif, kita juga tidak boleh lumpuh kerana sinisme dan ketakutan. Tugas kita adalah untuk mengembalikan nilai kemanusiaan. Jika tidak, kita tidak boleh bercakap mengenai ekonomi berperikemanusiaan," katanya.




Comments