top of page

Belanjawan 2027 beri penekanan isu kos sara hidup, kebajikan rakyat

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama KPDN diketuai Datuk Armizan, semalam
Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama KPDN diketuai Datuk Armizan, semalam

Belanjawan 2027 yang dijangka dibentangkan pada Oktober depan dilihat akan memberikan penekanan kepada usaha menangani kos sara hidup serta melindungi kebajikan dan hak pengguna.


Perkara itu antara fokus dibincangkan dalam Sesi Libat Urus Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya semalam.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan sesi berkenaan melibatkan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.


Menurut MOF, sesi berkenaan memberi tumpuan kepada perincian strategi dan langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang terus menjadi antara isu utama dihadapi rakyat.


Pada masa sama, pendekatan yang bakal dipertimbangkan turut mengambil kira keperluan memperkukuh perlindungan terhadap kebajikan serta hak pengguna, kata MOF.


"Sesi ini memberi tumpuan kepada perincian strategi dan langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam menangani cabaran kos sara hidup di samping memperkukuh usaha melindungi kebajikan dan hak pengguna," kata kenyataan itu.


Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen pada 9 Oktober ini.


Sesi libat urus berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar serta pegawai kanan MOF dan KPDN bersama pasukan Belanjawan 2027.


Selain isu kos sara hidup, MOF menjelaskan, perbincangan turut memberi perhatian kepada usaha memperketat penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan melibatkan barangan kawalan dan bersubsidi.


Langkah itu penting bagi memastikan peruntukan kerajaan untuk bantuan dan subsidi sampai kepada kumpulan sasar serta tidak disalah guna atau bocor dalam rantaian pengedaran.


Usaha tersebut juga selari dengan pendekatan kerajaan untuk memastikan perbelanjaan awam lebih bersasar supaya sumber kewangan negara dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan bagi membantu rakyat yang memerlukan.


"Perbincangan turut menekankan pengukuhan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan barang kawalan dan bersubsidi sekali gus memastikan manfaat bantuan dan subsidi Kerajaan terus disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan," kata MOF.

1 Comment


Rose Deliza
2 hours ago

There’s something incredibly satisfying about turning all the tiles green in Wordle Unlimited.

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page