Bekas Menteri M Saravanan didakwa tiga tuduhan rasuah lebih RM1 juta
- Suara Keadilan

- 20 hours ago
- 3 min read

Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat, empat tahun lalu.
Saravanan, 58, yang juga Ahli Parlimen Tapah dan Timbalan Presiden MIC, komponen Barisan Nasional mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Azura Alwi, lapor media tempatan.
Mengikut pertuduhan pertama, Saravanan didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM150,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Wang itu didakwa sebagai dorongan dan upah kepada Saravanan yang ketika itu Menteri Sumber Manusia untuk memberikan kelulusan terhadap permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bukit Jalil Golf & Country Resorts pada 16 Jun 2022.
Bagi pertuduhan kedua, Saravanan didakwa menerima wang tunai RM350,000 daripada Tan melalui Syed Amirul sebagai upah untuk memberikan kelulusan terhadap permohonan kuota pekerja asing bagi syarikat sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Telawi 3, Bangsar pada 7 Julai 2022.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Saravanan didakwa secara rasuah menerima RM597,000 daripada Tan melalui Syed Amirul menerusi sekeping cek Maybank Islamic yang didepositkan ke dalam akaun milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Wang berkenaan juga didakwa sebagai upah berkaitan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi kesemua pertuduhan.
Beliau turut diperintahkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap tiga bulan sehingga perbicaraan selesai serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.
Mahkamah menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memohon jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin atas alasan kesalahan yang didakwa dilakukan Saravanan adalah serius.
Pendakwaan turut berhujah kedudukan Saravanan sebagai seorang tokoh politik dan Ahli Parlimen perlu diambil kira dalam menetapkan jumlah jaminan.
Menurut pendakwaan, meskipun tiada bukti pada peringkat ini menunjukkan saksi telah diganggu, kedudukan Saravanan sebagai ahli politik berpengaruh memberikan peluang untuk mempengaruhi saksi.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Saravanan bagaimanapun menyifatkan cadangan jaminan RM800,000 sebagai tidak munasabah dan keterlaluan.
Pembelaan memaklumkan Saravanan merupakan Ahli Parlimen sejak 2008 dan kehadirannya ke mahkamah menunjukkan komitmen beliau untuk menghadapi pertuduhan serta membersihkan namanya.
Peguamnya turut memohon supaya pasport Saravanan tidak ditahan kerana beliau perlu mendapatkan rawatan perubatan secara berkala di sebuah hospital di Chennai, India.
Saravanan yang menjadi Menteri Sumber Manusia dari Mac 2020 hingga November 2022 mengesahkan beliau akan didakwa berhubung isu pengambilan pekerja asing ketika pandemik COVID-19 pada 2022.
Sehari sebelum pertuduhan, beliau mendakwa kes berkenaan berpunca daripada kenyataan pihak ketiga yang mengaitkan dirinya dengan isu pengambilan pekerja asing.
Saravanan mendakwa individu terbabit, yang meninggal dunia kira-kira dua bulan lalu, kemudiannya membuat Akuan Berkanun (SD) bagi menarik balik dakwaan berkenaan.
Beliau juga mendakwa tidak pernah berhubung atau mengenali individu berkenaan sama ada melalui telefon atau perkhidmatan pesanan ringkas dan menyatakan kesediaan mempertahankan dirinya di mahkamah.
Saravanan selesai membayar wang jaminan RM450,000 sebelum meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.45 pagi.




Comments