Bekas KSU Ruji Ubi mampu bawa agenda pembangunan ke DUN Merotai
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) yakin calon DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi, mampu membawa agenda reformasi hingga peringkat negeri, hasil pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan pusat dan negeri.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kombinasi pengalaman luas Ruji dalam pentadbiran kerajaan serta rekod perkhidmatannya di peringkat Persekutuan menjadikan beliau lebih memahami keperluan rakyat serta dinamika hubungan negeri–Persekutuan sekaligus menjadikan beliau calon paling berwibawa untuk membawa perubahan menyeluruh.
"Calon yang kami letakkan di sini adalah anak jati Merotai yang mempunyai pengalaman luas daripada segi pentadbiran. Beliau adalah tawaran terbaik PH berikan kepada pengundi di Merotai.
"Kejayaan meletakkan beliau sebagai wakil rakyat akan membolehkan penduduk mempunyai seorang pemimpin yang mudah memahami urusan rakyat dengan pentadbiran kerajaan," katanya dipetik selepas Majlis Santai Madani di Merotai Besar pada Khamis.
Saifuddin sementara itu turut menegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meletakkan keyakinan tinggi terhadap Ruji, justeru rakyat wajar memberikan mandat yang sama.
"Malah Datuk Ruji juga mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Perdana Menteri, menjadikan proses perbincangan dan penyelesaian isu lebih mudah.
"Perdana Menteri sudah meletakkan kepercayaan kepada beliau, kita minta rakyat Merotai turut memberikan kepercayaan yang sama," katanya.
Ruji merupakan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara yang bersara daripada perkhidmatan awam pada 21 Jun lalu.
Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Di Sabah, ketokohannya terserlah ketika berkhidmat di SDO apabila beliau berjaya melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat termasuk rumah panjang di Kota Marudu, pembaikan sekolah daif serta menyelamatkan projek sakit SMK Titingan 2, SMK Kinabutan 2 dan SMK Langkon 2.









Comments