top of page

Bekalan makanan asas terjamin sepanjang Tahun Baharu Cina, Ramadan

  • 17 hours ago
  • 1 min read


Bekalan barangan makanan asas negara dijamin kekal stabil dan mencukupi bagi menampung peningkatan permintaan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina serta Ramadan.


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, kerajaan akan memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi sepanjang tempoh perayaan tanpa kebimbangan terhadap isu ketersediaan di pasaran.


Justeru, tumpuan utama kini diberikan kepada pengurusan serta pemerkasaan sumber pengeluaran bagi memastikan kesinambungan bekalan telur, ayam, daging lembu, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan sentiasa terjamin.

"KPKM komited memastikan ketersediaan bekalan makanan negara berada pada tahap optimum bagi menampung keperluan domestik sepanjang musim perayaan ini," menurut kenyataan tersebut.


Menerusi kenyataan sama, KPKM memaklumkan, kerajaan turut mempergiat pelaksanaan inisiatif Jualan Agro MADANI (JAM) sebagai langkah intervensi harga bagi membantu rakyat mendapatkan barangan asas pada kadar lebih berpatutan.


Sebanyak 478 program JAM telah dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari hingga 8 Februari lalu, menawarkan barangan asas terpilih pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.


Manakala, sempena Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Pra-Syawal, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menganjurkan 572 lagi program JAM di seluruh negara, merangkumi 430 program di outlet peruncitan FAMA serta 142 program di premis kerajaan dan kawasan perumahan terpilih.


"Jualan tersebut menawarkan bekalan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, telur, barangan runcit dan keperluan lain pada harga lebih rendah sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup pengguna sepanjang musim perayaan dan Ramadan," tambah kenyataan tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page