Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan mengambil serius dalam memastikan keterjaminan bekalan beras di negara ini dengan mengambil kira jangkaan 10 tahun akan datang sekiranya negara pengeluar membuat keputusan menghentikan eksport.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perkara tersebut dan mahu ia diambil serius.
"Kita kena fikir serius dan PM tekankan soal ini, kita kena letakkan katakan dalam tempoh 10 tahun lagi semua negara menghentikan eksport, apa nak jadi?
"Sebab itu kerajaan ambil perhatian serius cukupkan bekalan beras di negara ini," katanya dalam program Suara Anak Madani yang disiarkan di saluran YouTube semalam.
Program yang dihoskan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin turut menampilkan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron sebagai ahli panel.
Mohamad yang terus dikekalkan portfolio sama dalam rombakan Kabinet baru-baru berkata hasil tinjauan pihaknya dan kementerian mendapati usaha untuk memastikan negara memenuhi tahap Kadar Sara Diri (SSR) dapat dicapai.
"Saya turun ke bawah dan tengok keluaran beras adalah 65 peratus, kita perlu (tampung) bekalan 35 peratus lagi," ujarnya.
Mohamad berkata negara perlu memastikan SSR mencapai sekurang-kurangnya tahap 90 peratus dengan langkah meningkatkan pengeluaran beras tempatan dilaksanakan.
"Saya tinjau pengeluaran padi yang tingginya hasilnya ialah di Sekinchan, Selangor, maka kita bawa cara mereka, ala Sekinchan ini ke Kedah, kita cuba selalu dapat enam tan sekarang dapat 11 tan.
"Kita bawa juga ke Besut, Terengganu, dulu empat tan boleh capai tujuh tan, sekarang negeri lain bekerjasama, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak sedia tawarkan tanah untuk dijadikan tanaman padi," ujarnya.
Jelas beliau apabila berlaku bekalan beras tempatan yang mencukupi, rakyat terbanyak dapat membelinya manakala golongan lebih berkemampuan boleh menggunakan bekalan beras import.
コメント