Bayar hutang 1MDB RM51 bilion, kebajikan rakyat tetap terjaga - Zawawi
- Akmal Manaf

- Jul 11
- 2 min read

Kejayaan Kerajaan MADANI mengurus ekonomi dengan baik sehingga mampu membayar hutang 1MDB bernilai RM51 bilion tanpa mengorbankan kebajikan rakyat.
Hal itu, menurut penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, menjadi bukti keberkesanan dasar ekonomi yang dilaksanakan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, dasar ekonomi yang cekap ketika ini mengingatkan rakyat kepada era PM Anwar menerajui Kementerian Kewangan selama tujuh tahun, dari 1991 hingga 1998.
"Selama tujuh tahun ekonomi kita berkembang dengan baik (ketika itu). Saya yakin dan pasti PMX mampu melakukan yang lebih baik daripada zaman beliau menjadi Menteri Kewangan dulu.

"Walaupun kerajaan meminjam (ketika ini), tetapi bayaran hutang itu dilihat semakin lama semakin sedikit dan diatur dengan baik," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bahawa hanya kerajaan diterajui PM Anwar mampu mengurus pembayaran hutang 1MDB berjumlah RM51 bilion, sambil memastikan ekonomi negara terus berkembang, kos sara hidup lebih terkawal dan pelbagai bantuan kepada rakyat diteruskan.
Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Zawawi berkata, jika dilihat kepada situasi sebelum ini, hutang negara semakin lama semakin membengkak.
"Yang akan kena bayar (hutang itu) ialah anak cucu kita dan juga kita. (Walaupun) terdapat kenaikan cukai dan sebagainya, tetapi kerajaan (pada masa sama) banyak memperkenalkan subsidi bersasar, (sekali gus memastikan) barang-barang asas dapat dibeli dengan harga subsidi.
"Hanya rakyat Malaysia yang dapat menikmati hasil daripada kemakmuran ekonomi negara kita," katanya sambil menyifatkan ekonomi negara ketika ini diuruskan dengan baik oleh PM Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Sebelum ini, Dewan Rakyat didedahkan dengan fakta bahawa kerajaan telah membayar sebanyak RM42.5 bilion daripada jumlah keseluruhan tanggungan hutang dan komitmen 1MDB yang berjumlah RM51.4 bilion.
Baki komitmen sukuk sebanyak RM8.9 bilion masih perlu dilunaskan secara berperingkat sehingga tahun 2039.




Comments