Barang keperluan asas diimport mencukupi - Armizan
- Azuan Ab Rahman

- 10 hours ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas yang diimport mencukupi setakat ini meskipun berdepan cabaran susulan konflik di Asia Barat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata meskipun negara berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan, masalah itu dapat ditangani hasil kerjasama berterusan antara kerajaan dan pemain industri peruncitan.
"Melalui pengukuhan kerjasama antara kerajaan dan industri, bekalan barang keperluan asas yang diimport adalah mencukupi sungguhpun berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), yang merupakan antara organisasi induk utama sektor peruncitan negara.
Antara dibincangkan pada sesi itu adalah berkait konflik Asia Barat khususnya implikasi terhadap keterjaminan bekalan dan kestabilan harga.
Konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran serta sekatan di Selat Hormuz dilaporkan memberi kesan langsung kepada ekonomi global sehingga menyebabkan kos sara hidup kini melonjak di kebanyakan negara.
Sekiranya krisis ini berlarutan, ia berpotensi menjejaskan rantaian bekalan, meningkatkan kos pengangkutan dan harga makanan, selain memberi tekanan kepada ekonomi akibat gangguan bekalan tenaga.
Sementara itu Armizan menerusi hantarannya berkata, KPDN akan memantau perkembangan semasa bagi memastikan tiada gangguan serius terhadap bekalan barangan keperluan asas di pasaran.
Pada masa sama, kementeriannya akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama industri bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.




Comments