top of page

Bantuan RM2,500 mangsa banjir Selangor serlah sifat prihatin PM - Amidi

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
6 hours ago
2 min read
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Amidi Abdul Manan
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Amidi Abdul Manan

Keprihatinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap nasib mangsa banjir di Kuala Selangor bukan sekadar dizahirkan melalui kunjungan turun padang, malah diterjemahkan menerusi tindakan segera kerajaan mempercepatkan projek tebatan banjir serta menyalurkan Bantuan Tunai Khas RM2,500 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas.


Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Amidi Abdul Manan berkata, kehadiran PM Anwar bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Zulkefli Ahmad mencerminkan keprihatinan kepimpinan negara dan negeri terhadap nasib rakyat yang berdepan musibah banjir.


"Dalam lawatan tersebut, beliau tegas mahukan agar jabatan kerajaan khususnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil segala langkah perlu, samada jangka pendek mahu pun jangka panjang, agar kejadian banjir saban tahun ini dapat dikurangkan dan tidak berulang lagi.


"Kesungguhan ini tergambar pada kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang mahukan projek tebatan banjir dipercepatkan," katanya menerusi satu kenyataan.


Ustaz Amidi menyifatkan PM Anwar yang juga Presiden KEADILAN sebagai seorang pemimpin yang mudah tersentuh dengan kesusahan yang dihadapi rakyat.


Ujarnya, keprihatinan tersebut sekali lagi dizahirkan menerusi pengumuman Bantuan Tunai Khas sebanyak RM2,500 kepada setiap KIR yang terjejas akibat banjir, yang mula disalurkan seawal hari ini.


Justeru, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada PM Anwar atas keprihatinan serta tindakan pantas kerajaan dalam membantu mangsa banjir.


Beliau turut berharap agar segala ikhtiar dan usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah SWT.


Semalam, PM Anwar melawat mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, di Jeram yang menempatkan 154 orang daripada 36 keluarga.


Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas Kerajaan Persekutuan dan negeri serta sukarelawan termasuk pasukan perubatan yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page