Banjir Nepal: Keluarga waris mohon bantuan PM Anwar


Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam insiden banjir kilat di Nepal bulan lalu memohon untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) Dr Manivannan Rethinam berkata, selepas lebih sebulan menunggu tanpa kepastian, isu kewangan dan perundangan menjadi antara perkara paling mendesak bagi keluarga terutama mereka yang bergantung kepada mangsa sebagai pencari nafkah utama.
Menurut beliau, pertemuan kelak diharap dapat mencapai penyelesaiaan menyeluruh perkara yang perlu diselaraskan pada peringkat tertinggi tanpa menunggu keputusan kerajaan Nepal.
Dipetik laporan media, Dr Manivannan juga mewakili waris mangsa memohon kerajaan mempertimbangkan moratorium khusus terhadap komitmen kewangan mangsa ketika waris berhadapan kesukaran mengakses akaun, aset, perlindungan insurans dan mengurus pinjaman mereka.
"Status mangsa sebagai individu hilang menyebabkan keluarga berhadapan pelbagai kekangan kerana aset serta komitmen kewangan atas nama mereka seperti akaun bank, pinjaman kenderaan dan perumahan, kepentingan dalam syarikat serta tuntutan insurans hayat dan perjalanan tidak dapat diuruskan.
"Ini (moratorium) akan membantu keluarga bertahan sehingga sijil kematian dikeluarkan serta tuntutan insurans dan urusan harta dapat diselesaikan," katanya selepas sesi pertemuan waris bersama dengan agensi kerajaan di Wisma Putra pada Ahad.
Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan.




Comments