Banjir besar: Gerak segala sumber kesan 91 rakyat Malaysia di Nepal, China
- Suara Keadilan

- 58 minutes ago
- 3 min read

Kerajaan digesa menggerakkan segala sumber dan memperkukuh penyelarasan bagi mengesan 91 rakyat Malaysia di Nepal dan China yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir kilat, aliran puing dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj (gambar) berkata, berdasarkan kenyataan rasmi Wisma Putra setakat 8 malam, 29 Ogos, seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 lagi di China masih belum dapat dihubungi.
Katanya, antara individu yang masih belum dapat dihubungi dilaporkan termasuk pelancong, pendaki, jemaah ziarah keagamaan ke Gunung Kailash serta dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
"Mereka bukan sekadar angka dalam laporan rasmi tetapi setiap seorang daripada mereka ialah anak, ibu, bapa, suami, isteri dan sahabat kepada keluarga yang sedang menunggu dengan penuh kegelisahan, siang dan malam," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bencana yang melanda kawasan termasuk daerah Rasuwa dan Gyirong atau Kerung di Tibet itu telah meragut lebih 600 nyawa, manakala ribuan lagi masih dilaporkan hilang.
Menurutnya, kemusnahan besar terhadap penempatan, jalan raya, jambatan, kemudahan kesihatan dan infrastruktur penting turut menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.
Yuneswaran pada masa sama menghargai tindakan Wisma Putra mengaktifkan Bilik Operasi selama 24 jam serta menggerakkan perwakilan Malaysia di Kathmandu, Beijing dan New Delhi.
“Namun, skala bencana ini menuntut penyelarasan yang lebih menyeluruh, pantas dan berpusat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pusat sehenti khusus untuk keluarga terlibat diwujudkan dengan talian 24 jam, nombor rujukan kes dan pegawai yang boleh dihubungi pada bila-bila masa.
Katanya, seorang pegawai perhubungan khusus juga perlu dilantik bagi setiap keluarga supaya waris tidak tercicir daripada aliran maklumat dan tidak perlu menghubungi pelbagai agensi untuk mendapatkan perkembangan.
"Perlu diadakan taklimat pada waktu yang tetap setiap hari, walaupun sekiranya belum terdapat maklumat baharu. Kesunyian maklumat hanya akan menambahkan tekanan dan penderitaan keluarga.
"Kerajaan juga wajar mempergiat penyelarasan antara Wisma Putra, NADMA, JBPM, pihak berkuasa Nepal dan China, agensi pelancongan serta syarikat telekomunikasi untuk menyemak manifest perjalanan, nombor pasport, laluan perjalanan dan lokasi terakhir setiap individu," katanya.
Beliau juga mencadangkan penambahan anggota konsular dan pasukan tindak balas di Kathmandu, Beijing dan New Delhi, termasuk pegawai berkemahiran bahasa serta kepakaran pengurusan bencana.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia perlu segera menawarkan kepakaran teknikal kepada Nepal dan memuktamadkan persediaan bagi menggerakkan Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) sekiranya permintaan serta kelulusan rasmi diterima.
"Malaysia mempunyai pengalaman dan keupayaan dalam misi mencari dan menyelamat antarabangsa. Dalam keadaan setiap minit amat berharga, semua persediaan anggota, peralatan, dokumen perjalanan dan logistik perlu diselesaikan terlebih dahulu agar pasukan kita dapat bergerak tanpa sebarang kelewatan," katanya.
Kerajaan turut disaran menyediakan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan, selain membantu urusan dokumen, perjalanan dan logistik bagi waris terdekat yang memerlukannya.
Yuneswaran berkata Malaysia pada masa sama wajar menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada Nepal berdasarkan keperluan yang dikenal pasti pihak berkuasa negara itu, termasuk bantuan perubatan, makanan, air bersih, tempat perlindungan sementara dan pemulihan infrastruktur asas.
Beliau turut menyeru media dan orang ramai supaya tidak menyebarkan angka, gambar atau maklumat yang belum disahkan kerana spekulasi di media sosial hanya akan menambah kesakitan keluarga.
"Dalam saat seperti ini, tiada perbezaan kaum, agama atau fahaman politik. Yang ada hanyalah rakyat Malaysia yang sedang menunggu kepulangan insan tersayang," katanya.
Yuneswaran turut menyampaikan takziah dan simpati mendalam kepada keluarga mangsa serta rakyat Nepal dan masyarakat di Tibet yang terjejas akibat tragedi berkenaan.




Comments