Kampung Sungai Suloh masih kerap dilanda banjir biarpun Kerajaan Negeri melakukan projek tebatan banjir dengan melebar dan mendalamkan sungai.
Menurut ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim, hal itu berlaku kerana rekabentuk projek yang sedang diusahakan bagi mengelakkan banjir tidak sesuai dengan keadaan sungai di kawasan berkenaan.
Katanya, pihak Kerajaan Negeri yang meluluskan projek perlu mengambil kira situasi semasa dan kembali meneliti rekabentuk projek yang tidak berkesan dalam menangani banjir.
“Perkara ini telah kita majukan dalam sidang DUN serta kepada Menteri Besar (MB) ketika itu dan peruntukan pun telah diluluskan sebanyak RM 13 juta. Tetapi projek ini bergerak secara perlahan dan projek tersebut bermula pada bulan September 2020 yang lalu.
“Reka bentuknya dikatakan gagal kerana banjir terus melanda di kawasan kampung ini dan baru-baru ini banjir lagi serta mengakibatkan harta orang-orang kampung yang terpaksa menanggung kerugian.
“Saya tak kira, perkara ini perlu diselesaikan kerana yang mustahak adalah rakyat di kawasan saya. Pihak berwajib perlu mengambil berat hal ini dan sekiranya menggunakan ‘L shape concrete’ untuk sungai tersebut itu lebih pratikal, apa salahnya kita gunakan kaedah itu.
“Saya nasihatkan jangan jadikan Sungai Suloh ini sebagai tempat eksperimen atau ujikaji untuk sesuatu projek itu berjaya. Perkara ini telah berulang sejak belasan tahun masih tidak ada penyelesaian,” katanya dipetik.
Khairuddin juga mencadangkan satu kolam takungan di kem tentera Majidee, Batu Pahat yang terbiar buat sementara digunakan sebagai takungan sementara air hujan dari sungai di kampung itu bagi mengelakkan banjir.
"Saya harap pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) sendiri dapat berbincang dengan pihak Kem Tentera Majidee Batu Pahat untuk sementara (sehingga projek tebatan banjir siap) menggunakan kolam takungan tersebut bagi kemudahan mengelakkan banjir.
"Kalau kolam takungan itu berfungsi maknanya air akan berkumpul di situ dan ‘spill off’ perlahan-lahan melalui Sungai Suloh.
"Jadi saya berharap untuk sementara ini manfaatkan semula kolam takungan itu agar permasalahan banjir dapat diselesaikan dalam jangka masa pendek. Untuk jangka masa panjang seperti yang saya nyatakan tadi menggunakan ‘L shape concrete’ dapat dibuat untuk 200 meter pertama dan bukan menggunakan gabion (ketika ini) yang telah gagal,” ujarnya lagi.
Banjir berlaku di Kampung Sungai Suloh, daerah Batu Pahat kerana pembangunan kawasan sekitar yang pesat namun tidak mempunyai perancangan menyeluruh, terutama aspek saliran dan pengurusan banjir.
Kommentare