Baju koyak: Pembantu dedah sikap sederhana Anwar, Dr Wan Azizah
- Helmi Mohd Foad

- Jun 17
- 2 min read

Hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bajunya yang koyak baru-baru ini mendapat perhatian ramai, namun seorang pegawai yang rapat dengan keluarga beliau tampil menjelaskan bahawa hal itu bukanlah sekadar kandungan media sosial atau gimik politik.
Penolong Pengurus Kompleks Seri Perdana, Ellia Aliza Md Arith berkata beliau mengetahui cerita sebenar di sebalik baju yang dipakai Anwar kerana pakaian tersebut merupakan antara baju kegemaran Perdana Menteri.
Menurutnya, baju berkenaan sebenarnya telah koyak sebanyak tiga kali sebelum ini dan setiap kali koyak ia dijahit semula untuk terus digunakan.
"Masuk kali ini baju itu dah koyak tiga kali, tetapi dijahit semula. Bukan sahaja PMX mahu buat kandungan murah, tetapi PMX dan Kak Wan memang sentiasa bersederhana dalam semua perkara," katanya menerusi hantaran di media sosial.

Ellia turut berkongsi pengalaman melihat sendiri gaya hidup sederhana isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang disifatkannya jauh daripada kemewahan meskipun pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri (2018 - 2020).
Beliau mendakwa Dr Wan Azizah sering memakai kasut jenama BATA dan tidak pernah berasa segan untuk mengakui kasut yang dipakainya dibeli secara dalam talian pada harga berpatutan.
"Kebanyakan baju Kak Wan daripada kain sutera dan berusia lebih 20 tahun. Kadang-kadang dia masih pakai walaupun sudah berlubang atau koyak kerana tidak suka membazir. Selagi boleh dipakai, dia akan terus pakai," katanya.
Tambah beliau, pakaian kegemaran Dr Wan Azizah juga sering diubah suai beberapa kali apabila saiz badan berubah.
Ellia berkata, kisah-kisah seperti itu jarang diketahui umum dan hanya mereka yang rapat dengan pasangan tersebut memahami amalan kesederhanaan yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Hantaran itu dibuat susulan perkongsian Anwar dalam rakaman video pendek mengenai bajunya yang koyak, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Terdahulu Anwar dilihat mengenakan baju batik tersebut ketika menghadiri makan malam bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, Sabah.
Dalam pertemuan itu kedua-dua pemimpin itu bertukar pandangan mengenai pelbagai isu yang menyentuh masa depan Sabah, termasuk agenda pembangunan negeri, pengukuhan ekonomi, kesejahteraan sosial serta ikhtiar mempertingkat taraf hidup rakyat.
"Saya yakin hubungan erat serta kerjasama yang utuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus menjadi asas penting dalam memastikan Sabah terus melangkah maju, makmur dan menikmati pembangunan yang lebih seimbang serta inklusif," kata Anwar di Facebook.




Comments