Awang Husaini berdepan pertarungan 10 penjuru di DUN Petagas
- Suara Keadilan

- Nov 15, 2025
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Awang Husaini Sahari, 58, berdepan pertarungan 10 penjuru yang dijangka sengit dalam misi menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Beliau dilihat berpeluang untuk menambahkan bilangan kerusi yang bakal dikuasai PH berdasarkan rekod PRN 2020, Datuk Awang Ahmah Shah yang ketika itu mewakili Warisan hanya meraih majoriti tipis 261 undi.
Awang Husaini yang juga bekas Ahli Parlimen Putatan mempunyai pengaruh besar di kawasan itu apabila beliau hanya kalah tipis 124 undi bagi kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum ke 15.
Beliau berkata persaingan sengit tidak menjadi masalah kepadanya dan beliau akan berusaha sedaya upaya membawa kerusi DUN Petagas yang mempunyai kira-kira 20,116 pengundi ke pangkuan PH.

"Ok… kita menghadapinya dengan proses demokrasi yang sihat. Mendapat satu perkembangan yang sihat apabila semua kerusi DUN di Petagas menghadapi situasi yang sama (pertembungan banyak penjuru)," katanya kepada Suara Keadilan selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Putatan pagi tadi.
Beliau yang diiringi dengan ratusan penyokong PH terutamanya KEADILAN menunjukkan reaksi keyakinannya untuk merampas kerusi DUN Petagas dalam PRN Sabah ke-17.
Beliau tersenyum dan menunjukkan tanda bagus apabila ditanya adakah penglibatannya di Putatan sejak sekian lama membuka peluang untuk beliau memenangi kerusi tersebut.
Terdahulu beliau tiba di pusat penamaan calon tersebut kira-kira pukul 8.45 pagi bersama para penyokong PH serta calon DAP yang juga mewakili PH, Datuk Chan Foong Hin bagi kerusi DUN Tanjung Aru.
Turut hadir mengiringi dua calon PH itu ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan ahli-ahli Parlimen PH antaranya Syahredzan Johan (Bangi) dan Young Shefura Othman (Bentong).
Dalam pada itu ketua pengurus pilihan raya Masawi Salleh turut mengumumkan kerusi DUN Petagas turut ditandangi Aslin Samat (Parti Impian Sabah), Sabreezani Sabdin Ghani (Anak Negeri), Dr Mohd Afifi Shaiffuddin (PN-PAS), Lee Nyuk Soon @ Jason Lee (UPKO) dan Patrick @ Peter Manius (Bebas/IND).
Turut bertanding bekas penyandang kerusi DUN Petagas Awang Ahmad Sah (Bebas/IND), Adelaide Cornelius (KDM), Annita Shiela F.Among (STARSABAH) dan Datuk Uda Sulai (Warisan).
Sementara itu Foong Hin yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berdepan saingan sembilan penjuru di DUN Tanjung Aru.
Seramai 21,264 pengundi DUN tersebut juga bakal membuat perhitungan terhadap lapan lagi calon iaitu Datuk Loh Ee Eng (PBK), Hiew Choon Yu (STAR SABAH), Datuk Wong Hong Jun (Warisan), Yee Wee Ping (PIS), Dennison R Indang (UPKO), Mohamed Zaim Ansawi (Bebas/IND), Ritchie Jay Cheng (Bebas/IND), Suhaimi Buang (PN-Bersatu)
Pada PRN 2020, kerusi tersebut dimenangi Junz Wong Hong Jun yang mewakili Warisan Plus-Warisan dengan majoriti 3,147 undi.
Kerusi DUN Tanjung Keramat yang mempunyai 26,113 pengundi melibatkan persaingan 11 penjuru menyaksikan Jeffery Noor Mohamed (BN-UMNO) bertembung dengan Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (GRS-Gagasan Rakyat).
Turut bertanding Sugarah @ Segarah Miasin (KDM), Farish Adamz Shah @ Kanny Chew Ly Choi (PN-Bersatu), Saifullah Phang Abdul Malik (Bebas/IND), Mahadthir Asbollah (PIS), Mil Kusin Abdillah (Anak Negeri), Datuk Azni Mohd Salleh (STAR SABAH), Rosday Wasli (UPKO), Mohammad Firdaus Diun (Warisan) dan Datuk Jasni Matlani (PBK).
Pada PRN 2020, Shahelmy Yahya (BN-UMNO) menang dengan majoriti 1,124 undi.









Comments