AMK Wilayah cadang subsidi AI, tukar BUDI MADANI kepada My50


Kerajaan disaran mempertimbangkan pelepasan cukai atau subsidi bagi langganan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) serta memberi pilihan kepada penerima subsidi petrol BUDI MADANI untuk menyalurkan bantuan itu kepada pas pengangkutan awam My50 menerusi Belanjawan 2027.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Jeremy Ang (gambar) berkata, kedua-dua cadangan itu bertujuan membantu golongan belia mengakses teknologi digital, mengurangkan kos sara hidup dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Beliau berkata, kemudahan pelepasan cukai atau subsidi khusus bagi menampung kos langganan perkhidmatan AI untuk kegunaan individu masih terhad, sedangkan teknologi itu semakin penting dalam pembelajaran, pembangunan kemahiran dan peningkatan produktiviti.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan disaran memperkenalkan pelepasan cukai gaya hidup digital atau skim subsidi fleksibel bagi membiayai langganan platform AI seperti ChatGPT, Claude dan GitHub Copilot.
"Inisiatif ini dapat memperluas akses kepada teknologi AI, mengurangkan beban kos langganan serta memperkukuh keupayaan belia Malaysia untuk bersaing dalam ekonomi digital di peringkat global," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam aspek pengangkutan pula, Jeremy mencadangkan kerajaan meneroka mekanisme pilihan atau opt-in yang membolehkan penerima subsidi petrol BUDI MADANI yang layak memilih untuk menyalurkan nilai subsidi berkenaan bagi membiayai pas pengangkutan awam bulanan My50.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaannya perlu tertakluk kepada kesesuaian dasar dan mekanisme yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, pendekatan itu dapat memberi lebih banyak pilihan kepada belia untuk menentukan bentuk bantuan yang bersesuaian dengan keperluan mobiliti masing-masing, terutama mereka yang tinggal atau bekerja di kawasan bandar.
"Pendekatan ini memberikan fleksibiliti kepada golongan belia untuk memilih bentuk sokongan yang bersesuaian dengan keperluan mobiliti masing-masing, khususnya bagi mereka yang menetap atau bekerja di kawasan bandar," katanya.
Beliau berkata, cadangan itu juga berpotensi mengurangkan kos pengangkutan, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan menyokong agenda mobiliti rendah karbon negara.
Jeremy berkata pendekatan subsidi yang lebih fleksibel dan bersasar bukan sahaja dapat memperluas akses golongan belia kepada teknologi AI serta memperkukuh kemahiran digital, malah membantu meringankan beban kos sara hidup.
Justeru, beliau berharap cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan golongan belia mendapat sokongan yang bersesuaian dengan perubahan teknologi dan keperluan mobiliti semasa.



Comments