AMK Petra Jaya perkukuh perpaduan menerusi program limau muhibbah
- Suara Keadilan
- 26 minutes ago
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Petra Jaya terus memperkukuh semangat perpaduan menerusi penganjuran Program Limau Muhibbah sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Program dilaksanakan di sekitar DUN N.6 Tupong dan DUN N.8 Satok itu menyaksikan pengagihan buah limau kepada penduduk pelbagai kaum di kawasan itu sebagai simbolik penghargaan dan persahabatan kepada masyarakat setempat.
Ketua AMK Cabang Petra Jaya, Dayang Siti Aisyah Abg Mos berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen pihaknya untuk terus mendekati rakyat serta memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam meraikan detik-detik bermakna perayaan utama negara.
"Edaran buah limau yang dijalankan bukan sekadar simbol kemeriahan perayaan, tetapi membawa mesej kebersamaan dan keprihatinan tanpa mengira latar belakang selaras nilai MADANI yang menekankan kesejahteraan, ihsan, hormat-menghormati dan kebersamaan.
"Ia juga menjadi platform untuk AMK mendengar secara langsung suara dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan.
Dayang Siti Aishah sementara itu berkata, impak program dapat dilihat melalui hubungan yang semakin erat antara AMK dan masyarakat setempat, sekali gus menyuburkan budaya saling menyantuni dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Beliau turut menyatakan komitmen berterusan untuk menganjurkan program kemasyarakatan dari semasa ke semasa demi membina masyarakat yang bersatu, sejahtera dan harmoni di Parlimen Petra Jaya.





