AMK Negeri Sembilan persoal janji kestabilan Umno-BN


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan mempersoalkan kembali janji kestabilan yang diketengahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu.
Ketuanya, Mohamad Hamizan Mohd Bahtiar (gambar) berkata kemurkaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menimbulkan persoalan serius mengenai keupayaan Kerajaan Negeri dalam memelihara maruah dan keharmonian rakyat
"Sepanjang tempoh kempen pilihan raya, Umno-BN menjanjikan kestabilan dan kemakmuran sebagai tawaran utama kepada pengundi.
"Namun, kemelut yang tercetus ini mengundang persoalan besar mengenai pendekatan kepimpinan negeri dalam menguruskan isu-isu sensitif membabitkan institusi diraja.
"Rakyat mengharapkan pemimpin negeri yang mengutamakan rundingan, memainkan peranan sebagai pendamai, dan dan mampu mencari penyelesaian berhemah," katanya dipetik laporan media.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa jawatan politik hanyalah bersifat sementara, manakala amanah memelihara adat dan institusi diraja perlu dilaksanakan secara berterusan.
Sehubungan itu, AMK Negeri Sembilan menggesa kepimpinan negeri menilai semula pendekatan politik mereka serta mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan dan mengembalikan keyakinan awam.
"Isu ini turut membabitkan tanggungjawab kolektif kepimpinan Umno-BN Negeri Sembilan dalam memastikan setiap keputusan politik mengambil kira sensitiviti masyarakat, kedudukan institusi diraja dan kepentingan negeri.
"Kesetiaan kepada institusi diraja mesti diterjemahkan melalui tindakan. Sebarang perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan menerusi saluran undang-undang yang sah dengan mengutamakan kepentingan rakyat," tambah beliau.




Comments