AMK bidas Tuan Ibrahim: Sejak bila Pas jadi jurucakap Umno?
- Azuan Ab Rahman

- 5 hours ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang dilihat berlebih-lebihan mempertahankan Umno dalam isu membabitkan parti itu dan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin (gambar) sambil menyindir Pas sebagai ‘jurucakap tidak rasmi’ Umno berkata, beliau merasa pelik dengan kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa KEADILAN hanya menumpang kekuatan Umno.
"Sejak bila Pas dilantik menjadi jurucakap Umno? Atau sekarang Pas merasakan mereka lebih besar daripada Umno sehingga boleh bercakap bagi pihak Umno?.
"Jika Umno ada masalah dengan KEADILAN, biarlah pimpinan Umno sendiri bercakap. Mereka ada Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan.
"Umno belum sampai tahap memerlukan Pas menjadi jurucakap tidak rasmi mereka," katanya dalam hantaran Facebook.
Tuan Ibrahim menerusi satu artikel mendakwa KEADILAN tidak wajar memberi kata dua kepada Umno untuk memilih sama ada kekal bersama Kerajaan Madani atau beralih menyokong Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Kubang Krian itu turut meminta KEADILAN melihat kedudukan serta jumlah kerusi dimiliki parti itu berbanding Umno sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran terhadap rakan dalam kerajaan.
Danish bagaimanapun berkata, jika jumlah kerusi Parlimen dijadikan ukuran kekuatan sesebuah parti, KEADILAN masih memiliki lebih banyak kerusi berbanding Umno di Dewan Rakyat.
"Jadi kalau matematik kerusi yang mahu dijadikan ukuran, KEADILAN masih lebih banyak daripada Umno," ujarnya.
Sementara itu Danish turut menyelar Tuan Ibrahim dengan menyifatkan kenyataan dibuatnya bercanggah dengan pendirian sendiri sebelum ini berhubung hubungan Pas dan Umno.
"Lucu, baru beberapa minggu lalu Tuan Ibrahim sendiri mengingatkan dalam rundingan Pas-Umno supaya jangan ada konsep abang besar atau adik kecil dan semua pihak perlu dianggap setara.
"Bila mahu kerjasama dengan Umno, katanya jangan ada abang besar. Bila mahu serang KEADILAN tiba-tiba Umno pula jadi abang besar. Politik Pas ini ikut prinsip atau ikut musim?" soalnya.




Comments