Akta Persaingan 2010 bakal dipinda, beri pelindungan pemberi maklumat
- Azuan Ab Rahman

- 20 hours ago
- 1 min read

Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan skim perlindungan dan ganjaran kepada pemberi maklumat melalui pindaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) .
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu bertujuan memperkasa pasaran yang adil, telus dan berdaya saing sekaligus menarik kerjasama lebih proaktif daripada orang awam dan pihak industri dalam membongkar kegiatan kartel tipuan bida dan monopoli bermasalah yang semakin kompleks.
Tambahnya, akta sedia ada tidak mempunyai peruntukan khusus untuk melindungi pemberi maklumat manakala Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) pula tidak terpakai kepada penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
"Tindakan mengikut Akta Persaingan 2010 adalah bersifat sivil, manakala Akta 711 hanya membabitkan pendedahan berkaitan kesalahan tatatertib dan jenayah," katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Khamis.
Terdahulu Armizan menyaksikan pemeteraian Surat Persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MyCC yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Mengulas lanjut, Armizan berkata pindaan tersebut akan memberi kuasa langsung kepada MyCC untuk melindungi pemberi maklumat, termasuk menjamin kerahsiaan identiti mereka dalam prosiding MyCC, Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) atau mana-mana prosiding sivil dan jenayah di bawah Akta 712.
Selain perlindungan, cadangan itu turut memperuntukkan ganjaran kepada individu yang memberikan maklumat atau bantuan sehingga membawa kepada penemuan pelanggaran atau pensabitan kesalahan.
"Kelulusan peringkat dasar sudah dipersetujui Kabinet dan pelbagai sesi libat urus telah dijalankan, termasuk dengan kementerian berkaitan dan Peguam Negara.
"Pindaan ini kini dalam proses dibawa ke Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen," katanya lagi.




Comments