Akta E-Dagang baharu bakal lindungi pengguna, peniaga tempatan - Dr Fuziah
- Azuan Ab Rahman

- 40 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan agar Akta E-Dagang baharu dapat digubal secepat mungkin bagi melindungi pengguna serta mewujudkan suasana persaingan adil buat peniaga tempatan.
Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) menegaskan, ekosistem perniagaan dalam talian kini menjadi semakin kompleks, terutamanya apabila ia melibatkan aktiviti perniagaan rentas sempadan.
Justeru, Akta Perdagangan Elektronik 2006 sudah tidak lagi seiring landskap perniagaan digital masa kini dan kelompongan itu perlu segera diatasi.
"Kerangka e-dagang perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan cara rakyat membeli serta berniaga hari ini. Ini penting untuk menutup kelompongan dalam Akta Perdagangan Elektronik 2006, khususnya dari sudut perlindungan pengguna.
"Perkara ini perlu disegerakan kerana kita perlu melihat kesannya kepada ekonomi negara dalam jangka panjang," katanya menerusi hantaran di laman media sosial.
Menerusi hantaran tersebut beliau juga menjelaskan, peranan penyedia platform e-dagang perlu dikawal selia memandangkan mereka kini mempunyai pengaruh besar dalam penentuan pemasaran dan pengedaran produk.
Justeru penggubalan akta baharu ini memberi tumpuan kepada perlindungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada persaingan tidak seimbang akibat lambakan harga melampau yang berisiko menjejaskan mata pencarian peniaga tempatan.
"Pada masa sama, kerajaan mahu menetapkan tahap pematuhan dan kebertanggungjawaban yang jelas kepada penjual luar negara bagi menangani isu penipuan, barangan tidak selamat, mahupun pertikaian transaksi," tambahnya.




Comments