Kemenangan Dr Hafidzah Mustakim dari Amanah di DUN Kota Lama, Kelantan mengejutkan Pas kerana kawasan itu telah dipertahankan sejak pilihanraya 1999.
Namun bagi Dr Hafidzah, kemenangan manis Pakatan Harapan di kawasan 'jantung' Kota Bharu itu akan disusuli dengan perkhidmatan yang baik kepada pengundi.
Menurut beliau, banyak isu yang perlu diperjuangkannya sebagai satu satunya wakil rakyat wanita daripada PH - BN di Kelantan.
Bagaimanapun beliau berkata, keutamaannya untuk bergerak berdasarkan formula 1A 5P 1K dalam memenuhi janji pilihanraya di DUN berkenaan.
"1A itu air bersih. Kota Lama ini di tengah Kota Bharu, mereka juga hadapi isu air bersih. 1/3 kediaman di Kelantan tidak mendapat bekalan air bersih.
"5P itu prasarana. Sistem pasar, orang ramai pergi pasar pagi pagi tetapi pasar tidak selesa, kotor. Tahap kebersihannya, perparitannya.
"Kota Bharu ada (pemimpin Pas) kata ada bangunan pencakar langit tetapi bawah itu ada pula kediaman miskin bandar. Tak ada longkang, duduk dalam air becak, kotor.
"Kemudian kemudahan taman permainan yang mesra keluarga. Ini boleh dibilang dengan jari. Juga pendidikan, ini adalah sepanjang hayat, kemahiran, TVET ini kita akan perjuangkan.
"Ketiga suasana perniagaan yang lebih kondusif. Orang berniaga di pasar Siti Khadijah perlukan bantuan.
"Perumahan mampu milik masih menjadi isu, DUN Kota Lama ramai lagi tak ada perumahan yang baik dan kelima adalah pelancongan. Itu perkara yang kita benar benar perlu perjuangkan," katanya dalam program bual bicara bersama Iswardy Morni, malam tadi.
Manakala 1K yang terakhir, kata Dr Hafidzah ialah keselamatan. Katanya keselamatan wanita, kanak kanak amat penting dan beliau akan membawa perkara itu dalam sidang DUN akan datang.
Ditanya mengenai bekalan air bersih yang menjadi isu sepanjang Pilihan Raya Negeri yang baru lalu, beliau berkata hal itu akan lebih mudah diselesaikan kerana Perdana Menteri telah pun meluluskan peruntukan RM1.2 bilion.
Cuma, katanya, keberkesanan peruntukan itu akan bergantung kepada anak syarikat Kerajaan Negeri yang perlu lebih efisien membelanjakannya ke jalan yang betul.
"Kerja saya ringan kerana apabila kita menang Kota Lama, ini pintu masuk Kelantan secara keseluruhan. Kita mempunyai Kerajaan Persekutuan yang baik dan tidak mendiskriminasikan mana mana kerajaan di bawahnya.
"PMX telah beri kelulusan RM1.2 bilion untuk pembangunan air di Kelantan. Cuma persoalannya macam mana nak laksana?
"Kita tak nak ulangi apa Menteri Air Nik Nazmi sebut, masalah ini bukan duit tetapi pengurusan. Saya berharap kita akan dapat berbincang dalam sidang DUN.
"Mungkin kena cari di mana masalah. Kemudian kita bertindak. Daripada buat projek berulang ulang tetapi tidak menjadi," katanya lagi.
Semoga YB Dr Hafidzah Mustakim dikurniakan rahmat dan perlindungan Allah serta diberi kekuatan dan perlindunganNya dlm melaksanakan amanah sebagai Wakil Rakyat di FUN Kota Lama.
Selamat berkhidmat YB Dr Hafidzah Mustakim😍😍🎊🎊🎉🎉