ADUN cadang perluas perkhidmatan MRT ke Rawang


Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat (gambar) mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian kepada usaha menambah baik jaringan pengangkutan awam ke Rawang bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.
Menurutnya, pertambahan penduduk dan pembangunan yang semakin meluas hingga ke Hulu Selangor memerlukan perancangan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dan mampan.
Sehubungan itu, beliau berharap cadangan memperluas perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) ke Rawang dapat diberi pertimbangan dalam Belanjawan Selangor 2027.
"Saya berharap ada MRT masuk ke Rawang. Saya tahu itu bukan perkara yang senang, tetapi sekurang-kurangnya hari ini kita bersuara tentang perkara tersebut.
"Kita harap satu hari nanti, mungkin dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, perkara itu boleh menjadi kenyataan," katanya dipetik laporan media.
Selain berharap perkhidmatan MRT dapat diperluas untuk kemudahan penduduk, Chua turut berharap Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Rawang.
Menurutnya, jadual tren yang terhad terutama ketika waktu bukan puncak benar-benar menyusahkan urusan penduduk setempat yang bergantung kepada perkhidmatan tersebut.
"Sekarang ini Selangor bukan hanya Lembah Klang, pembangunan makin luas sehingga Hulu Selangor. Kekurangan kenderaan awam jadi punca kesesakan lalu lintas di kawasan ini," katanya.




Comments