ABIM kecam pementasan perlekeh Rukun Negara


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sebuah pementasan yang tular di media sosial yang didakwa memperlekehkan Rukun Negara.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (gambar) berkata, persembahan berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai keberanian berkarya dan dinilai dari sudut tanggungjawab serta pertimbangan moral.

"Penganjur dan mereka yang terlibat perlu tampil memberikan penjelasan, memohon maaf secara terbuka dan bertanggungjawab terhadap pementasan itu.
"Pihak berkuasa DIGESA menjalankan siasatan terhadap persembahan berkenaan secara tegas, adil dan mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan.
Video tersebut memaparkan beberapa pelakon saling menyuruh antara satu sama lain untuk ‘balik ke China, India dan Indonesia’ sebelum mengulangi ungkapan ‘This is Malaysia’.
Pelakon kemudian melafazkan Rukun Negara, dengan watak tertentu menyelitkan respons bernada mengejek selepas setiap prinsip yang dibacakan.
Ahmad Fahmi sementara itu berkata, Rukun Negara bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi ikrar kewarganegaraan yang dibentuk daripada pengalaman pahit negara bagi memelihara perpaduan, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat majmuk.
Tambahnya, ketika negara berdepan cabaran polarisasi dan kemerosotan kepercayaan antara masyarakat, bidang seni sewajarnya menjadi medium yang membuka minda serta menyemai nilai kemanusiaan, bukannya menjejaskan asas yang menyatukan rakyat.




Comments