Oct 20, 20211 min

Pandora Papers: SPRM patut panggil pemilik akaun luar pesisir - AMK

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar memanggil segera untuk siasatan para pemilik akaun luar pesisir berikutan pendedahan Pandora Papers baru-baru ini.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir berkata, pihaknya menyambut baik tindakan SPRM memanggil Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dirakan keterangan berkaitan maklumat Pandora berkenaan

Namun katanya, penama-penama akaun yang dibariskan di dalam pendedahan tersebut lebih wajar disiasat terlebih dahulu.

"AMK mengambil maklum SPRM akan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar untuk dirakam keterangan mengenai Kertas Pandora.

"Datuk Seri Anwar sebelum ini menggesa Parlimen untuk membahaskan Kertas Pandora tetapi tidak dibenarkan oleh speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

"SPRM melalui Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki berkata pihaknya akan berbincang dengan Bank Negara Malaysia dan agensi-agensi berkaitan.

"Namun selain Datuk Seri Anwar, SPRM sepatutnya bersedia mengambil keterangan individu yang dinyatakan memiliki akaun luar persisir antaranya Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa individu lagi," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu, kesungguhan dan tekad SPRM akan lebih terserlah sekiranya tokoh-tokoh politik dan perniagaan terkenal yang tersenarai disiasat segera.

"AMK menggesa siasatan telus pada kadar segera oleh SPRM berkaitan Kertas Pandora serta memanggil individu terbabit seperti yang disebut dalam dokumen berkenaan.

"AMK juga berharap SPRM tidak menggunakan kuasanya untuk melakukan intimidasi terhadap pemberi maklumat sebaliknya fokus kepada isu yang dibawa," katanya lagi.

Kertas Pandora merujuk kepada pembocoran dokumen milik firma perkhidmatan kewangan yang memudahkan orang kaya menubuhkan dan menguruskan entiti luar pesisir. Dokumen tersebut didedahkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

    1