Jan 24, 20221 min

Kerajaan BN perlu hentikan siasatan penganjur demo TangkapAzamBaki - Anwar

Kerajaan BN digesa menghentikan siasatan ke atas penganjur demonstrasi #TangkapAzamBaki pada Sabtu lalu kerana mencabul hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri dan pihak polis wajar menghentikan sebarang siasatan terhadap perhimpunan itu kerana bertentangan dengan amalan demokrasi negara ini.

"Saya ingin mengulangi gesaan kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk segera menghentikan gangguan dan siasatan kepada penganjur demonstrasi tempoh hari.

"Menyatakan bantahan dan menganjurkan demonstrasi secara aman adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Langkah ini ternyata suatu tekanan terhadap mereka dalam menyikap gejala rasuah di negara ini.

"Justeru itu, segala siasatan dan intimidasi terhadap mereka mestilah segera dihentikan," katanya.

Sabtu lalu, kira kira 500 demonstran tidak mengira latar belakang politik dan NGO mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki diambil tindakan berhubung skandal pemilikan saham menggunakan akaun beliau.

    1