Bekas Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin tidak berhak mencampuri urusan dalaman parti selepas dipecat pada Februari lalu.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak perlu mengulas mengenai sokongan atau kekuatan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri (PM) Malaysia.
"Beliau (Zuraida) langsung tidak layak mempersoalkan kekuatan KEADILAN kerana beliau sendiri telah mengkhianati perjuangan dan kepercayaan yang diberikan oleh parti.
"Beliau seharusnya berasa malu kerana masih memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang sedangkan kerusi itu dimenangi atas tiket KEADILAN.
"Jika beliau seorang yang bermaruah dan berpendirian, beliau perlu melepaskan kerusi Parlimen Ampang dan mengembalikannya kepada rakyat Ampang," kata Syed Badli dalam satu kenyataan, menempelak komen Zuraida sebelum ini kononnya Anwar tidak seharusnya diangkat sebagai PM kerana parti pimpinannya bergelut dengan isu dalaman.
Sebaliknya, menurut Syed Badli lagi, parti bertambah kuat selepas pemergian Zuraida dan para pengikutnya yang sebelum ini mencetuskan pertelingkahan dalaman kerana tidak taat setia kepada presiden parti.
"Hakikatnya KEADILAN bertambah kukuh selepas para pengkhianat memilih untuk meninggalkan parti dan proses pembersihan terhadap saki baki pengkhianat terus berjalan.
"Saya optimis KEADILAN akan tampil lebih kuat dan tersusun pada pilihan raya akan datang kerana mereka yang gemar mencetuskan kerosakan sudah tiada lagi," akhiri Syed Badli.
Comments