Tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) berdaftar beroperasi ketika lockdown terus dikritik.
Terbaharu, Naib Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Datin Faizah Ariffin membidas menteri KPKT, Datuk Zuraida Kamaruddin kerana tidak prihatin terhadap derita rakyat yang telah dikurung sebulan lamanya.
Menurut beliau, sebaik-baiknya Zuraida menasihatkan kerajaan Perikatan Nasional untuk memberi moratorium pinjaman wajib, bukannya menggalakkan rakyat meminjam kepada PPW yang mengenakan kadar faedah tinggi.
"YB Zuraida Kamaruddin sepatutnya menasihatkan kerajaan segerakan rundingan dengan bank bagi moratorium automatik, mengurangkan caj faedah pinjaman, memudahkan proses kelulusan pinjaman, serta memaksimumkan agihan bantuan zakat secara lebih efektif.
"Memberi kebenaran PPW beroperasi hanya akan membuka ruang kepada syarikat pinjaman wang tidak berlesen memanipulasi, memperdaya serta mengelirukan rakyat yang dalam kesempitan dan tidak punya pilihan mendapatkan wang.
"Secara tidak langsung, jika perkara ini gagal dikawal dan semakin berleluasa, ia berpotensi mengheret rakyat kepada tekanan hidup yang serius hingga ada yang sanggup bunuh diri seperti dapat disaksikan dengan peningkatan 20 peratus kes bunuh diri pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya," kata Faizah dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan KPKT meletakkan PPW dalam kategori perkhidmatan perlu (essestial services) ketika banyak perniagaan lain yang bersangkutan dengan keperluan pekerjaan atau kehidupan rakyat ditutup.
"Tindakan kerajaan meletakkan PPW sebagai senarai perkhidmatan perlu mengesahkan kecelaruan berhubung status essestial services itu sendiri yang menjadi pertikaian ramai.
"SOP tidak jelas serta takrifan essestial services yang longgar menjadi punca lambakan perniagaan dan kilang terus beroperasi. Maka tidak hairan angka jangkitan Covid 19 dan kematian masih tinggi walaupun sudah hampir sebulan “total lockdown” dikuatkuasa," katanya lagi.
Comments