top of page

Warga emas mati di lantai hospital: Segerakan RUU Warga Emas elak pengabaian


Wanita KEADILAN mendesak kerajaan Perikatan Nasional 2.0 untuk menyegerakan Rang Undang-undang Warga Emas dibentang di Dewan Rakyat bagi melindungi kelompok berkenaan daripada pengabaian.


Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, insiden seorang warga emas yang meninggal dunia di lantai Hospital Lama Sungai Petani negeri Kedah, kelmarin, tidak seharusnya berulang kepada warga emas yang lain.


"Saya mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar mengawalkan tarikh pembentangan Rang Undang – Undang (RUU) Warga Emas pada September 2021 atau selewat-lewatnya akhir tahun ini, bukan pada tahun 2022 seperti yang dijadualkan dalam Pelan Strategi KPWKM 2021-2025.


"Kewujudan Akta Warga Emas menjadi lebih mendesak demi melindungi warga emas yang merupakan golongan rentan berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 daripada penderaan dan pengabaian, serta bagi mengelakkan kematian warga emas akibat pengabaian oleh penjaga dalam kita berusaha memerangi pandemik Covid-19.


"Oleh itu, saya mencadangkan supaya Menteri mempertimbangkan dua perkara berikut supaya dimasukkan ke dalam RUU Warga Emas," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ker Chean lagi, akta tersebut sangat penting dan boleh mendakwa sesiapa sahaja yang mengabaikan warga emas di bawah tanggungjawab mereka.


Dengan itu, katanya, individu atau mana-mana badan yang menjaga warga emas akan lebih berhati-hati dalam uruan mereka.


"Institusi-institusi atau individu wajib mempunyai akauntabiliti ke atas warga emas bagi memastikan golongan warga emas selamat daripada penderaan dan pengabaian di bawah penjagaan institusi dan individu.


"Kedua, penderaan atau pengabaian yang dilakukan terhadap warga emas boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan jenayah di sisi undang-undang sekiranya disabitkan kesalahan.


"Adalah penting hak asasi warga emas dilindungi supaya mereka boleh hidup dengan bermaruah, selamat, tanpa pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19," katanya.


Selain itu, beliau juga berharap siasatan yang dijalankan oleh Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo boleh membersihkan nama frontliners di Kedah dengan bukti dan saksi sekiranya kisah sebenar bukan seperti yang didakwa, dan keadilan ditegakkan bagi mangsa sekiranya pendakwaan oleh warganet adalah benar.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page