Wajarkah nasihat darurat dari kerajaan diragui keabsahannya diikuti?



Perisytiharan darurat yang dibuatkan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin terus diperdebatkan.


Pakar undang-undang Perlembagaan Dr Aziz Bari mempersoalkan perlukah Yang di-Pertuan Agong menerima nasihat daripada seorang PM yang dipertikaikan keabsahannya berikutan majoriti meragukan yang dimiliki oleh pentadbiran Muhyiddin


Ketua Pembangkang DUN Perak itu juga menolak komen-komen yang mengatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal sah dan nasihatnya boleh diikuti selepas beberapa siri pengumuman oleh Ahli-ahli Parlimen Umno yang menarik balik sokongan.


"Saya fikir komen itu tidak betul. Oleh kerana majoriti yang didakwa PN adalah majoriti yang didapati secara tidak langsung dalam pengundian belanjawan 2021. Saya mengira pihak-pihak yang menyokong belanjawan itu diluluskan ada perkiranaan yang tertentu.


"Namun dalam masa sama timbul dakwaan bahawa Anwar dan Pakatan Harapan memiliki majoriti yang besar.


"Anehnya Muhyiddin tidak pernah rebat atau menolak dakwaan itu. Sepatutnya apa yang berlaku ialah dakwaan itu diperiksa. Saya fikir kalau ada Akuan Berkanun (SD) seperti yang dikatakan itu, sepatutnya sudah mudah. Kalau seseorang buat SD palsu dia boleh dikenakan tindakan undang-undang, tak perlu pertikaikan SD ini sahih atau sebaliknya.


"Sepatutnya apa yang didakwa Anwar diperiksa setelah beliau mengulangi dakwaan itu. Saya ingat seminggu lepas Anwar berkata menjadi prerogatif Agong untuk mempastikan dakwaan itu benar. Saya lebih melihat ini sebagai tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melihat kenyataan tersebut betul dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja," katanya dalam siaran langsung di Facebook rasmi beliau, malam tadi.


Apatah lagi, kata Dr Aziz, selepas berlaku pendedahan oleh Tan Sri Annuar Musa yang berkata sokongan oleh MP Umno kepada Anwar adalah benar.


"Itu mengukuhkan apa yang didakwa Anwar. Hari ini pula ada yang menarik sokongan kepada kerajaan PN dipimpin Muhyiddin, selepas seorang dari Kelantan Datuk Ahmad Jazlan membuat pengumuman. Ini satu sebab yang wajar untuk Agong dengan serta merta menyelidik adakah majoriti yang dimiliki oleh PM semasa cukup untuk terus beliau menjadi PM," katanya.


Sehubungan itu apabila isu meragui perisytiharan darurat itu ditimbulkan, kata Dr Aziz, sepatutnya isu keabsahan PM mesti diputuskan terlebih dahulu.


Katanya, jika dilaksanakan nasihat daripada seorang PM yang tidak sah atau diragui kedudukannya, maka hal itu satu perkara yang serius.


"Selepas Agong, Parlimen juga gagal (menentukan keabsahan kerajaan). Ada percubaan mempertahankan kerajaan. Speaker kata perlu dapat persetujuan dari kerajaan untuk usul percaya atau tidak percaya dikemukanan di Parlimen," katanya lagi.


Bagaimanapun, menurut Dr Aziz, tidak banyak yang boleh dilakukan selepas darurat diisytihar.


Katanya, Kerajaan Persekutuan telah diberikan kuasa yang meluas untuk melakukan perkara-perkara yang tidak dibenar oleh Perlembagaan, yang mana dalam keadaan biasa tidak boleh dilaksanakan kerajaan. Darurat melanggar semua sekatan kecuali soal-soal yang kecil seperti agama, soal bahasa dan sebagainya.


"Ertinya kerajaan punya kuasa yang luas. Kerajaan yang keabsahannya dipersoalkan diberikan kuasa darurat. Ini perkara yang salah, saya bimbang institusi dipersoalkan, sebab yang sepatutnya dibuat tak dibuat, kemudian diberi kuasa pula kepada orang yang tak sepatutnya diberi kuasa," ujarnya.


Mengenai Jawatankuasa Khas Bebas yang bakal ditubuhkan untuk memantau perjalanan darurat, bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mempersoalkan, apakah ianya benar-benar bebas kerana ditubuhkan atas nasihat PM.


"Soal penasihat (dalam Jawatankuasa Khas Bebas) yang dilantik, siapakah mereka, sudah tentu mereka dilantik di atas nasihat PM," katanya.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio