Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap lebih telus mengenai program vaksinasi Covid 19 kebangsaan.
Katanya, bukan hanya proses pemberian vaksin yang perlu diutamakan tetapi langkah-langkah sampingan juga perlu diambil kira.
"Ia memerlukan lebih dari sekadar mempertontonkan pengambilan vaksin secara langsung di televisyen.
"Kerajaan prihatin tidak akan teragak-agak untuk memperjuang dan memperpanjangkan moratorium setelah diasak keras oleh pembangkang, tidak akan memperjudi nasib anak bangsa yang mengalami masalah akses kepada pendidikan (pada waktu pandemik) dan sebagainya," kata Anwar dalam satu siaran media malam tadi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengkritik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana tidak menjelaskan alasan penuh mengapakah pemerolehan vaksin di Malaysia begitu lambat berbanding negara jiran Indonesia.
"Mengapakah Malaysia lambat menerima vaksin? Indonesia telah memulakan fasa vaksinasi pada pertengahan Januari dan dijangka mencakup 18 juta petugas barisan hadapan serta para perawat pada April ini. Pemerintah Malaysia hanya sebut percayakan kami. Justeru apa status dana RM 3 bilion yang diperuntukkan untuk pemerolehan vaksin? Berapa kosnya? Untuk ini menteri hanya sebut RM2.05 bilion, berapa harganya (per unit vaksin) ketimbang negara-negara lain?
"Bagaimana harus kita pastikan RM2 bilion itu tidak bocor atau dimanfaatkan kroni? Kita bukan saja terlambat malah tak ada perancangan yang jelas. Kumpulan barisan hadapan yang pertama menerima vaksin, tetapi nampaknya ini pun masih belum dipastikan. Hospital juga masih menunggu vaksin disuntik ke atas kakitangan mereka.
"Kerajaan tidak membina keyakinan atau mendidik rakyat dalam hal vaksin. Juga tidak membantu jurang kaya dan yang miskin terkait akses kepada vaksin.
"Apa yang Malaysia perlukan ialah ketelusan dan kebertanggungjawaban. Bagaimana kita tahu siapa terima dahulu dan bila? Bagaimana untuk kita tahu jenis vaksin (sampai) ke negara kita? Apakah ada kajian dampak vaksin dan kesan sampingannya," katanya lagi.
Anwar juga mengkritik ketiadaan kajian mendalam dibuat ke atas penerima vaksin kerana dikatakan vaksin mempunyai impak berlainan terhadap golongan tertentu seperti warga emas, individu berpenyakit kronik dan sebagainya.
Selain itu, beliau turut mengkritik kerajaan PN kerana menggunakan kuasa mutlak dalam menumpaskan berita palsu atau propaganda anti vaksin.
Katanya, penggunaan kekerasan hanya akan menyuburkan teori konspirasi dalam kalangan rakyat.
Menurut Anwar, satu cara untuk menumpaskan berita palsu ialah dengan mendepaninya dengan logik dan pemikiran kritis. Kerajaan, katanya lagi mesti membawa saintis tempatan memberi pandangan dan memperkukuh sistem pendidikan negara untuk membina keyakinan rakyat kepada sistem kesihatan dan keupayaan pakar-pakar dalam negara.
Comentários