Umno, Pas konon bela kematian Adib tetapi bila pembunuhnya akan ditangkap?





Kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah setahun berlalu. Ketika Umno dan Pas masih menjadi pembangkang kes kematian ini digunakan untuk menaikkan sentimen perkauman kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak ambil serius membela kematian orang Melayu.


Bagi Pengerusi KEADILAN Negeri Terengganu, Azan Ismail, kes Adib seolah-olah telah dilupakan oleh kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN). Manakala kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang menyuruh rakyat menunggu hasil siasatan polis mencari pembunuh allahyarham sedikit pun tidak melegakan hati rakyat.


Hal ini kerana, kata Azan, proses inkues telah lama berakhir, Adib didapati dibunuh dan kini rakyat menunggu tindakan polis menghadapkan pembunuhnya ke mahkamah. Sekiranya gagal maka kerajaan PN harus dipersalahkan.


"Takiyuddin tahu pembunuh Adib patut ditangkap tetapi dia bermain politik dalam hal ini. Sebelum ini bukan main lagi membela Melayu, memperjuangan Islam bersama Umno tetapi kita lihat dia cuba berdalih.


"Ada video membuktikan bagaimana Adib meninggal dunia. Dia suruh kita tunggu (sehingga polis tangkap) sebab tak mahu sesiapa marah terutamanya ahli-ahli Pas. Takiyuddin bermain politik dan retorik," katanya.


Oleh itu, Azan menegaskan Pas tidak berupaya menangani isu tersebut tetapi hanya mencari dalih melepaskan diri. Sedangkan sewaktu menjadi pembangkang mereka mendakwa kerajaan PH melindungi pembunuh Adib.


"Sebenarnya Pas tak mampu selesaikan isu kematian Adib. Tengok sahaja isu Hudud sampai sekarang tidak disentuh. Nampak sangat Pas tertekan dan tidak berupaya berbuat apa yang mereka janjikan.


"Kesilapan Pas adalah kaitkan kelemahan pasukan polis yang sedang melakukan siasatan (lanjut) dalam inkues kes kematian ini," kata Azan lagi.


Tambah beliau, Pas dan Umno sepatutnya merasa malu dengan apa yang diperjuangkan suatu ketika dahulu. Mereka menunggang isu kematian Adib untuk menjatuhkan PH tetapi apabila berkuasa tiada penyelesaian yang berjaya dilaksanakan.


Malah, Pas dan Umno pernah mendesak PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kematian Adib tetapi mereka tidak pula menubuhkannya.


"Sampai sekarang tak ada suruhanjaya siasatan bila mereka jadi kerajaan. Masa PH uruskan kes ini prosedur diikut dengan teliti.


"Bila Pas dan Umno ambil alih mereka tidak mampu selesaikannya. Sebabnya mereka bermain politik dan tak tahu arah mana perlu dibuat," sinis Azan.


Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim hanya dapat diteruskan selepas pihak polis berjaya mengenal pasti dan menahan pembunuhnya untuk didakwa. Oleh itu, beliau meminta rakyat menunggu hasil siasatan lanjut pihak polis.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio