Tidak sampai setengah tahun pun kerjasama antara UMNO dan Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin serta pengkhianat KEADILAN untuk membentuk Perikatan Nasional (PN), kerajaan Melayu Islam ini ketika ini dilihat bertikam lidah secara terbuka di media sosial.
Kenyataan Wan Saiful Wan Jan yang meminta UMNO berkorban bagi mengukuhkan PN mengundang kemarahan Naib Presiden parti itu, Khaled Nordin kerana menganggap ia hanyalah cubaan untuk menyelamatkan Bersatu daripada kehilangan sokongan.
Khaled memberi pandangan dengan panjang lebar bahawa UMNO bersedia berkorban namun enggan menjadi talian hayat mana-mana parti politik.
Sebaliknya, Khaled meminta Bersatu berkorban dan membangunkan kekuatannya terlebih dahulu dan UMNO tidak akan berkorban untuk kerjasama politik yang bersifat sementara di peringkat yang tidak pun mewakili keseluruhan parti.
Malah, Khaled mahu Bersatu membuat pengorbanan dengan menyertai UMNO untuk sama-sama mengukuhkan Barisan Nasional (BN).
Perbalahan dalam kerajaan PN terus berlaku apabila pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) membuatkan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berang dan meminta penjelasan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.
Saifuddin menarik balik pelantikan itu serta-merta, menunjukkan seolah-olah tidak ada perhubungan mesra antara UMNO, Bersatu dan pengkhianat KEADILAN.
Ia sebenarnya memberikan bayangan bahawa gabungan PN berada dalam keadaan tidak stabil dan mungkin tidak akan bertahan lama jika perbalahan ini berterusan.
Malah, seorang lagi pemimpin UMNO, Nazri Aziz mencadangkan supaya pilihan raya mengejut diadakan secepat mungkin bagi menyelesaikan kemelut politik negara ketika ini.
Jika pilihan raya umum diadakan, adakah UMNO dan PAS yang mempunyai kerjasama rasmi dibawah Muafakat Nasional sanggup memberikan kerusi kepada Bersatu dan pengkhianat KEADILAN?
Adakah pengkhianat dan dalang Langkah Sheraton akan terima balasannya jua?
Comments