Oleh: Ahmad Nadhir Yob
ULASAN: Penulis tertarik dengan tiktok terbaharu yang dikeluarkan oleh Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu merangkap mantan ADUN Bandar, Azan Ismail yang menyentuh mengenai ketidakcukupan hasil negeri Terengganu dan idea rekonsiliasi royalti petroleum sejak 25 tahun lalu.
Saudara Azan juga berkata, jika PH - BN mampu menang dalam pilihanraya negeri pada kali ini proses rekonsiliasi royalti tertunggak itu dapat diselesaikan dengan lebih mudah kerana pentadbiran negeri dan pusat daripada gabungan sama.
Ekonomi terlalu bergantung kepada royalti
Penulis ingin mengembangkan sedikit yang diperkatakan oleh saudara Azan. Model ekonomi Terengganu telah terlalu bergantung kepada royalti petroleum sejak hampir 40 tahun. Namun begitu sampai bila Terengganu perlu bergantung kepada royalti minyak semata-mata sebagai sumber hasil utama?
Keadaan ini meletakkan Terengganu di persimpangan apabila harga minyak dunia sudah tidak kompetitif seperti dahulu menyebabkan kerancakan pertumbuhan dan aktiviti ekonomi negeri dilihat semakin suram akhir-akhir ini, terutama di Kemaman yang menjadi hab sokongan 'middlestream' dan 'downstream' industri minyak dan gas.
Ketiadaan model ekonomi sebagai penggantian kepada model yang sedia ada menyebabkan potensi Terengganu untuk menjadi negeri maju sentiasa tersekat.
Justeru itu jika rekonsilasi royalti petroleum ini berjaya, ia harus datang dengan roadmap yang menyeluruh bagaimana untuk mengubah model ekonomi Terengganu kepada model baharu yang lebih kompetitif, berdaya saing dan mampu melonjakkan Terengganu sebagai negeri maju.
Konsep nilai untuk wang
Saudara Azan juga ada membangkitkan tentang konsep value for money di dalam pengurusan belanjawan negeri.
Belanjawan Kerajaan Negeri sentiasa berada di dalam nilai sekitar satu bilion ringgit setahun namun begitu impak hasil pengurusan belanjawan itu tidak setara dengan jumlah yang dibelanjakan.
Justeru itu, adakah dengan berbelanja besar memberi impak yang maksimum kepada rakyat negeri Terengganu?
Jawapannya tidak. Sudah sampai masanya Terengganu memerlukan 'valued for money budget'. Sampai masanya Terengganu beralih daripada jumlah perbelanjaan besar kepada belanjawan yang lebih berobjektif, berkeutamaan dan berimpak tinggi walaupun nilai perbelanjaan itu tidak sebesar seperti sekarang.
Dua perkara ini harus menjadi keutamaan PH - BN jika memenangi pilihanraya negeri ini, iaitu merumus serta melaksanakan model ekonomi baharu untuk Terengganu bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti dan juga nilai untuk wang bagi setiap perbelanjaan belanjawan tahunan negeri.
コメント