top of page

Tumpu ketangka besar perjuangan, yakin kekuatan KEADILAN - Anwar



Pengkhianatan dan sabotaj bekas pimpinan KEADILAN Selangor tidak akan mampu melemahkan parti sekiranya anggota yakin dengan matlamat perjuangan.


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar ahli parti terus melihat kerangka besar perjuangan Reformasi berbanding keuntungan jangka pendek yang digembar-gemburkan oleh pengkhianat yang keluar.


Anwar yakin dengan semangat tinggi anggota KEADILAN Selangor dan negeri itu pasti akan menjadi tunjang utama parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 kelak.


"Saya rasa bangga dengan notis singkat (penganjuran jelajah presiden) di Selangor, telah menunjukkan mereka (anggota) lebih mengutamakan kerangka besar perjuangan dan mahu melihat ke hadapan. Apakah kekuatannya?


"Iaitu soal keyakinan. Kita bermula dengan keyakinan. Kita yakin dengan perjuangan. Barulah kita merungkai masalah melalui agenda Reformasi sebagai penyelesaiannya," kata Anwar dalam Majlis Jelajah Presiden ke Negeri Selangor 2020, malam tadi.


Dalam ceramah yang dihadiri lebih 300 pimpinan Cabang seluruh negeri itu, Anwar menyentuh mengenai permainan politik berhubung pendakwaan rasuah ke atas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Meskipun tanpa nilai wang, tanpa pertanyaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berapa wang suapan yang diminta, katanya, Guan Eng tetap didakwa.


Anwar menegur pendakwaan politik yang sama buruknya seperti era kerajaan BN, ketika pemerintahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan lebih baik dan dipimpin ulama-ulama besar Pas.


Oleh itu, menurut Anwar, rakyat wajar menilai kezaliman kerajaan Perikatan Nasional berkenaan yang mungkin lebih buruk berbanding BN.


"Rakyat terdedah dengan maklumat dan memantau. Bukan peguam, pendakwa atau hakim sahaja. Rakyat juga faham tentang undang-undang dan fakta. Sebab itu saya tegaskan KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) menolak cara pendakwaan yang tidak telus. Yang lebih dikesalkan ialah pendakwaan terhadap isteri Guan Eng.


"Tak kan tidak boleh tunggu sehari untuk pendakwaan. Tidak bolehkah isteri mengiringi suami dalam keadaan yang sangat mencabar hidup mereka sekeluarga.


"Saya rasa sangat sedih bila suami dihadapkan ke mahkamah dan isteri ditahan pada masa yang sama. Padahal boleh tangguh sehari.


"Jangan kita lihat dari sudut parti (siapa yang didakwa) tetapi pertimbangan kemanusiaan perlu ada," katanya lagi.


Sehubungan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyeru PH bangkit menyedarkan rakyat. Negara tidak boleh lagi melalui siri pendakwaan terpilih yang menyalahgunakan institusi perundangan.


Menurut Anwar, tiba waktunya Malaysia diatur secara aman dan damai, ikut keluhuran undang-undang dan hentikan penyiksaan terhadap orang-orang yang berlainan ideologi politik.


Dalam masa sama, Anwar turut meyindir Langkah Sheraton yang dipelopori kumpulan 11 KEADILAN sebagai tiada hala tuju dan hanya menyusahkan rakyat demi merebut kuasa.


"Kalau orang anggap Langkah Sheraton itu hebat, hebatnya dengan dua, tiga majoriti, tidak ada ketentuan, tidak ada keyakinan pelabur, tidak ada dasar ekonomi yang jelas, dari segi politik amat meleset.


"Dari segi sosial budaya kita masih dihantui kesenjangan kaum. Masalah kemiskinan antara kaum masih tidak selesai. Sering disebut usaha memulihkan kepentingan Bumiputera, kerana ini akan menarik sokongan Melayu. Kami akan bantu Melayu, kami bentuk majlis khas.


"Saya di Parlimen kemukakan pertanyaan, sebelum dibuat majlis. Saham berpuluh bilion ringgit bagi kepada siapa dan mengapa boleh bocor dan hilang? Jawabnya, kita kaji, teliti. Yang pelahap itu geng kamu semua, tak akan keluar hasil (kajian)nya.


"Kalau beri kepada syarikat kecil Bumiputera tidak apa. Saya nak tanya Tun mana, Tan Sri mana bolot saham bumiputera, dan macam mana orang sebegitu boleh bicara soal (ekonomi) Bumiputera?" sindirnya.



Dalam ucapan itu juga Anwar menasihatkan ahli KEADILAN agar melupakan permusuhan antara sesama anggota dan berlapang dada menerima sesiapa sahaja yang setia dengan parti.


Pada penutup majlis, Anwar dikejutkan upacara spontan memotong kek sambutan hari lahir beliau yang ke 73, mendoakan agar segera menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baharu.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page