
Kemelut yang dihadapi pekebun durian musang king di Raub, Pahang berikutan kebun mereka diambilalih oleh syarikat Royal Pahang Durian Produce yang mempunyai kepentingan Kerajaan Negeri boleh diselesaikan secara menang-menang jika koperasi pekebun durian ditubuhkan.
Menurut mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, koperasi tersebut akan berperanan untuk menyatukan para pekebun durian yang kini terpisah-pisah dengan saiz ladang yang kecil dan kawalan mutu yang kurang baik.
"Saya ingin mencadangkan Kerajaan Negeri menjadi pemudahcara antara petani dan syarikat Royal Pahang Durian untuk mencari penyelesaian yang berbentuk menang-menang.
"Kepada petani, saya ingin memberi sedikit nasihat. Buat masa sekarang semua dusun durian adalah small family owned farms yang berskala kecil antara 5 ekar ke 20 ekar. Ia tidak tersusun dan kualiti berbeza-beza. Jika Malaysia ingin menembusi pasaran dunia dan bersaing dengan pengeluar durian dari Thailand petani perlu menerima perubahan positif.
"Masa depan industri durian harus mencapai piawaian antarabangsa, kerana durian Musang King Raub adalah hasil pertanian premium peringkat antarabangsa. Maka ia harus lebih teratur dan menjaga kualiti.
"Saya ingin mencadangkan pekebun belajar dari Koperasi Sunkist Growers degan menubuhkan Koperasi Musang King Growers. Sunkist Growers Inc adalah antara model koperasi petani yang paling berjaya di dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Kata Sim lagi, koperasi boleh menjadi payung kepada semua pekebun. Koperasi itu juga boleh membeli baja atau peralatan pertanian pada harga borong serta pada kadar yang lebih rendah dan menjimatkan kos.
"Koperasi juga boleh meningkatkan kuasa tawar-menawar dengan syarikat Royal Pahang Durian dan memasuki perjanjian yang lebih bermanfaat.
"Saya menyeru petani-petani durian segera menubuhkan koperasi pekebun durian dan menjalankan perbincangan yang lebih konstruktif dengan syarikat Royal Pahang Durian.
"Saya juga menyeru Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang merupakan bapa kepada semua petani-petani agar turun padang membantu mencari penyelesaian kepada isu yang dihadapi. Janganlah lupakan petani kita," katanya lagi.
Dalam pada itu, Sim turut meminta kerajaan Pahang bersikap bertimbang rasa kepada pekebun yang telah menanam durian sejak 40 tahun lalu.
Bagi Sim, jerih payah pekebun yang memerlukan 5 - 7 tahun menjaga durian sehingga berbuah tanpa ada sebarang pendapatan dan pada masa yang sama terpaksa menanggung kos baja, racun dan membersihkan kawasan tidak boleh kesampingkan begitu sahaja.
"Sehinggalah durian musang king mendapat akses pasaran China pada bulan Mei 2019 di bawah kerajaan Pakatan Harapan, barulah harga durian meningkat. Barulah para penanam durian ini mendapat keuntungan daripada pelaburan yang begitu panjang.
"Maka, apabila Royal Pahang Durian ingin memonopoli semua hasil durian dan menetapkan harga tertentu daripada para petani tidak berdaftar, ia telah menimbulkan kemarahan dan menerima tentangan kuat daripada para pekebun.
"Saya tidak menolak tujuan baik Kerajaan Negeri memutihkan tanah tidak berdaftar supaya industri durian lebih terurus dan menjaga mutu serta memenuhi syarat MyGAP. Juga kerajaan dijangka menambah pendapatan negeri sehingga RM500 juta setahun.
"Tetapi harus kita semua ingat No Farmers, No Durians," katanya.
Konflik timbul apabila pekebun musang king mendakwa monopoli hasil yang dilakukan oleh syarikat Royal Pahang Durian tidak wajar dengan harga belian yang murah serta pekebun tidak boleh mengambil hasil tanaman untuk dimakan oleh keluarga dan rakan-rakan.
Bayaran levi sebanyak RM6,000 per ekar juga dibantah para pekebun.
Baru-baru ini, syarikat Royal Pahang Durian diberi pajakan dan hak untuk menggunakan tanah seluas 5,357 ekar di Raub selama 30 tahun dan ditambah 30 tahun lagi.