Tubuh jawatankuasa kerajaan-pembangkang tadbir urus Kuala Lumpur - PH



Menjelang hari perisytiharan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Februari ini, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyeru Menteri Wilayah Tan Sri Annuar Musa menubuhkan “Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024” bagi mengurustadbir bandaraya itu menuju ulang tahun Kuala Lumpur yang ke-50, kira-kira 3 tahun dari sekarang.


Menurut kenyataan Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur, usaha untuk menjadikan bandaraya itu bertaraf dunia telah tidak menjadi kenyataan apabila bekas Menteri Wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor gagal mengikut garis panduan 'Bandaraya Kelas Dunia' sebelum ini.


Oleh itu kata mereka, Menteri Wilayah yang baharu wajar mengumpul semua tenaga profesional untuk bekerjasama bagi merealisasikan hasrat yang telah dirancang sejak sekian lama itu.


"Kerajaan Persekutuan berkali-kali mengeluarkan perancangan dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandaraya Kelas Dunia yang mempunyai perancangan teratur mengikut piawaian antarabangsa.


"Walau bagaimanapun, impian itu telah gagal kerana mantan menteri daripada Barisan Nasional (BN), khususnya Datuk Seri Utama Tengku Adnan enggan melaksanakan dan mewartakan Pelan Bandaraya KL yang digubal oleh pakar Perancang Bandar.


"Sebaliknya Tengku Adnan meluluskan banyak projek pembangunan mempunyai kepadatan tinggi di tapak yang tidak sesuai sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Wilayah. Ini telah menghuru-harakan segala perancangan yang diatur untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah Bandaraya Bertaraf Dunia.


"Memandangkan Kuala Lumpur akan menyambut ulang tahun yang ke-50 pada tahun 2024, kami, Ahli-Ahli Parlimen PH di Kuala Lumpur ingin menyeru Menteri Wilayah Tan Sri Annuar Musa untuk menetapkan dengan jelas halatuju pembangunan dan pentadbiran di bandaraya ini," kata mereka dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, Annuar digesa menjalinkan kerjasama di antara agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Kuala Lumpur dengan Ahli-Ahli Parlimen PH untuk bersama-sama mentadbir Kuala Lumpur. Hal itu kerana wakil rakyat telah dipilih secara sah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) yang lalu dan mempunyai keabsahan untuk mewakili suara pengundi Kuala Lumpur serta mengangkat masalah yang dihadapi di kawasan Parlimen kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mahupun Kerajaan Persekutuan.


"Hari ini, kita berada dalam zaman yang penuh cabaran dan dugaan. Bandaraya Kuala Lumpur amat memerlukan pentadbiran yang baik serta visi yang segar dan baharu.


"Justeru, kami menyeru Menteri Wilayah untuk menubuhkan “Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024”, serta menggubal dasar dan perancangan bermula dari sekarang sehingga tahun 2024 dan mentadbir Kuala Lumpur bersama wakil-wakil rakyat yang dipilih," kata mereka.


Untuk itu, PH menekankan agar Kuala Lumur menjadi contoh kepada bandar-bandar lain di Malaysia dengan menambahbaik perancangan bandar, dasar perumahan dan sistem pengangkutan awam, mengatasi masalah alam sekitar akibat perubahan iklim serta mengatasi kemelesetan ekonomi juga mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan pasca pandemik Covid19.


Hal itu termasuklah dengan melaksanakan program saringan berskala besar (mass testing) dan vaksinasi yang membolehkan kehidupan rakyat kembali normal secepat mungkin. DBKL, kata mereka, boleh mengikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Selangor mengusahakan pembelian 1 juta vaksin untuk warga Kuala Lumpur, bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi penduduk.


Mereka turut mencadangkan DBKL dijadikan “Perkhidmatan Terbuka” agar pegawai yang berpengalaman di agensi kerajaan lain boleh dipindahkan berkhidmat di sana.


"Kami menyeru kepada Kerajaan PN untuk menukar perkhidmatan awam DBKL daripada “perkhidmatan tertutup” kepada “perkhidmatan terbuka”.

"Ini bermaksud semua pegawai DBKL akan tertakluk di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kerajaan boleh memindahkan pegawai yang lebih berpengalaman dan cemerlang di agensi Kerajaan lain untuk diserap masuk ke dalam DBKL, manakala pegawai DBKL akan mempunyai peluang untuk berkhidmat di agensi Kerajaan lain juga.


"Pembukaan perkhidmatan DBKL pastinya akan menyumbang kepada tadbir urus yang bersih, berintegriti dan efisien," kata mereka lagi.


Ahli-ahli Parlimen PH turut mencadangkan pendemokrasian Kuala Lumpur kerana terdapat banyak bandaraya bertaraf dunia di negara-negara lain yang melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan bagi penduduk memilih Datuk Bandar dan ahli majlis bandaraya. Pilihanraya kerajaan tempatan juga diadakan di bandaraya di rantau ASEAN seperti di Bangkok, Manila dan Jakarta


"Kuala Lumpur merupakan bandaraya yang paling sesuai untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan kerana ia merupakan ibu kota yang mempunyai belanjawan dan populasi yang tinggi. Kuala Lumpur juga tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri. Kami menyeru supaya Kerajaan PN melaksanakan Pilihanraya rintis Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur supaya penambahbaikan dan model yang paling sesuai boleh digunapakai untuk perlaksanaan di PBT yang lain.


"Sekiranya Pilihanraya Kerajaan Tempatan dapat diwujudkan, maka sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menghapuskan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan tujuan untuk mengelakkan pertindihan bidang kuasa dalam pentadbiran di Kuala Lumpur," kata mereka.


Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Ahli-ahli Parlimen yang mewakili pengundi Kuala Lumpur seperti Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew; Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio