
Trend pengundi bukan Melayu yang kurang keluar mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagaimana dilihat di Melaka dan Johor pada PRN 2021 dan awal 2022 agak membimbangkan Pakatan Harapan (PH) yang akan mempertahankan Selangor pada pilihanraya bulan Julai ini.
Bagaimanapun menurut Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, Thiban Subbramaniam, keadaan di negeri itu mungkin berbeza dalam PRN kali ini memandangkan faktor positif di peringkat kerajaan pusat.
"Trend kita lihat di PRN Melaka dan Johor mungkin PRN itu sendiri adalah sesuatu yang tidak dijangka, di mana rakyat belum bersedia. Juga ramai rasakan perubahan peringkat pusat tidak akan berlaku jadi tidak ada guna mereka lakukan perubahan peringkat negeri.
"Itu situasi menyebabkan ramai tidak keluar mengundi dan kita tidak mampu menang di beberapa kerusi kubu kita (bergantung kepada bukan Melayu) waktu itu kerana pengundi bukan Melayu kurang keluar mengundi.
"Namun ianya telah berubah semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 15 tempoh hari yang mana banyak kerusi (parlimen) ditambah dan dimenangi oleh KEADILAN itu sendiri di Johor.
"Ini membuktikan rakyat benar benar menilai dan keluar mengundi untuk lakukan perubahan di peringkat pusat," katanya.
Selain itu, beliau berpandangan, kempen PH sebelum PRU 15 lalu yang menjanjikan kestabilan politik dan kerajaan tidak bertukar ganti, serta penilaian rakyat pada beberapa bulan awal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak ada masalah politik serius pasti akan membantu pada PRN kali ini.
"Ramai yang keluar (mengundi pada PRU 15) daripada bukan Melayu untuk melihat Datuk Seri Anwar diangkat sebagai PM.
"Setelah Anwar diangkat PM kita boleh merasai arus perubahan itu, dan ini akan membantu untuk kita mengekalkan kerajaan negeri Selangor.
"Kerajaan yang hari ini dengan inisiatif dan dasar sedia ada, saya rasa pengundi Selangor bijak menilai dan memilih," katanya lagi.